roma

Zaniolo akhiri penantian 60 tahun Roma

Bola Sepak Sukan Terkini

Tirana – Jaringan gol tunggal perlawanan dari pemain tengah, Nicolò Zaniolo membolehkan Roma merangkul gelaran Eropah pertama dalam tempoh 60 tahun selepas menewaskan Feyenoord 1-0 dalam perlawanan akhir Liga Konferensi Eropah.

Dengan kemenangan tersebut, maka ianya telah melengkapkan kutipan trofi-trofi kejuaraan Eropah bagi pengurus yang terkenal dengan gelaran ‘The Special One’, Jose Mourinho.

Pengurus AS Roma, Jose Mourinho

Pengurus Roma itu pernah memenangi trofi Liga Juara-Juara Eropah, Liga Europa dan Piala UEFA dan kini menambah lagi satu trofi, Liga Konferensi Eropah.

Ini merupakan trofi pertama Roma semenjak memenangi Coppa Italia pada musim 2007/08 kira-kira 14 tahun lalu.

Dalam perlawanan tersebut, Zaniolo menjaringkan gol kemenangan Roma pada minit ke-32 setelah mendapat hantaran jauh yang tepat dari pemain pertahanan, Gianluca Mancini.

Zaniolo mengawal bola dari hantaran Gianluca Mancini dengan dadanya sebelum membuat satu penyudah yang cukup bijak dengan hanya menolak bola menggunakan kaki kirinya untuk menewaskan penjaga gol Feyenoord, Justin Bijlow.

Zaniolo (No.22) penjaring gol tunggal perlawanan menewaskan penjaga gol Feyenoord, Justin Bijlow (kanan).

Zaniolo juga menjadi pemain Itali termuda yang menjaringkan gol dalam perlawanan akhir utama Eropah sejak Alessandro Del Piero melakukannya ketika menentang Borussia Dortmund dalam Liga Juara-Juara Eropah pada Mei 1997.

Roma bagaimanapun dipaksa bertahan sepanjang perlawanan dengan Feyenoord melancarkan serangan bertali arus.

Pada separuh masa kedua, Feyenoord cuba bangkit dengan beberapa percubaan ke arah pintu gol Roma yang dijaga oleh penjaga gol berpengalaman Portugal, Rui Patricio. Dua percubaan yang dilakukan Feyenoord dinafikan oleh tiang gol termasuk percubaan menarik Tyrell Malacia pada jarak 27 meter.

Kemenangan Roma ini sedikit sebanyak bergantung kepada kekebalan benteng pertahanan yang diketuai oleh Chris Smalling, Gianluca Mancini dan Roger Ibanez.

“Menang adalah sangat sukar. Anda memerlukan banyak ramuan.

“Pasukan kami telah bermain 55 perlawanan. Kami ke perlawanan akhir dalam keadaan letih, tetapi kami berusaha untuk melakukan dan menyembunyikannya.

“Ini adalah kumpulan pemain yang hebat, yang membuatkan saya terharu. Kami bergelut pada separuh masa kedua, lawan kami bermain dengan baik dan mereka memaksa kami melakukan perubahan di bahagian pertahanan. Tahniah kepada Feyenoord!”, kata Mourinho.

Kapten Roma, Lorenzo Pellegrini berkata, “Kami adalah pasukan terbaik dan kami telah membuktikannya. Kini kami perlu meraikan kejayaan ini.”

“Saya tidak pernah membayangkan pada usia 25 tahun untuk mencapai kejayaan ini Ketika menyarung jersi Roma dan lilitan kapten. Ia adalah saat yang bermakna.”

Tammy Abraham yang dibawa masuk oleh Mourinho cukup gembira dengan kejayaan tersebut berkata, “Kredit kepada rakan sepasukan saya, persembahan yang cemerlang. Kami layak. Kami telah bekerja keras sepanjang tahun.

“Saya sayang mereka (peminat). Dari hari pertama saya datang ke sini ia adalah yang terbaik. Kami adalah juara, saya gembira menjadi sebahagian daripada pasukan, kini tiba masanya untuk meraikan dan berseronok.”

Foto | Twitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *