logo MAIPk

Zakat fitrah di Perak kekal RM7, RM14 dan RM21

Setempat Terkini

Ipoh – Bayaran zakat fitrah di Perak pada tahun 2022 ini ditetapkan pada tiga kadar pilihan harga iaitu RM7, RM14 dan RM21. Kadar bayaran zakat fitrah itu diputuskan menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak pada 4 hingga 6 Januari yang lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), Shahrul Azam Shaari berkata, walaupun harga minimum zakat fitrah bagi setiap individu adalah RM7, pembayar boleh membayar lebih dari kadar yang telah ditetapkan mengikut jenis beras yang dimakan atas dasar ‘tatawwu’ atau sukarela.

Katanya lagi, “Kadar yang ditawarkan adalah RM14 bagi pembayar yang menggunakan beras wangi, beras putih import, beras perang, beras pulut, herba poni dan seumpamanya.

Manakala RM21 bagi pembayar yang menggunakan beras basmathi, beras jepun, beras merah dan seumpamanya,” tambahnya lagi.

Pembayaran zakat fitrah boleh dibuat menerusi amil yang telah dilantik oleh MAIPk yang akan ditugaskan di semua surau, masjid, pusat membeli-belah dan tempat tumpuan orang ramai di seluruh negeri Perak.

Bayaran melalui amil hendaklah mematuhi arahan, peraturan dan tatacara kawalan yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Bagi memudahkan pembayaran zakat dilakukan, pembayar zakat boleh membuat pembayaran melalui dalam talian seperti FPX MAIPk (ezakat.maiamp.gov.my) dan juga melalui aplikasi-aplikasi berikut GoPay, Maybank2u, Shopee dan SnapNPay.

Penyata Bayaran Zakat Fitrah bagi pembayaran menerusi FPX MAIPk (ezakat.maiamp.gov.my) boleh dimuat turun secara terus daripada sistem FPX MAIPk. Manakala bagi medium bayaran selain FPX MAIPk, penyata bayaran zakat fitrah boleh diperoleh selepas enam hari transaksi dibuat.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *