XOX Bhd mula bayar tunggakan gaji Perak FC
Seri Manjung – Pemilik baharu Perak FC, XOX Bhd hari ini mengumumkan bahawa proses pembayaran tunggakan gaji para pemain Perak FC telah dimulakan.
XOX Bhd dalam satu kenyataan media berkata, 168 kakitangan Perak FC, termasuk para pemain bola, lebih kurang RM1.6 juta telah dibayar kepada 94 orang.
“Proses pelangsaian semua pembayaran yang berbaki akan dilengkapkan seawal minggu hadapan, sebaik sahaja selesai proses pengesahan dan pengisytiharan hutang-hutang Perak FC.
“Pengurusan baharu Perak FC bersama pihak eksekutif XOX mengucapkan terima kasih kepada para peminat dan semua pihak berkaitan dengan kelab bola Perak atas sokongan ini.
Menurut XOX lagi, “Kami (XOX) berharap ini merupakan permulaan baharu dengan memberi tumpuan kepada pembinaan semula Perak FC dan mengembalikan kegemilangannya.”
Dalam masa yang sama, XOX turut mengucapkan selamat maju jaya kepada pasukan Perak FC bagi perlawanan menentang UiTM pada 21 Mei 2022 iaitu esok, yang akan berlangsung di Stadium Perak, Ipoh.
Tiket perlawanan boleh dibeli secara atas talian di http://tickethotline.com.my. Manakala pembelian tiket secara fizikal juga boleh dibuat, dimana ianya akan dijual pada 21 Mei 2022 bermula jam 6 petang sehingga 9 malam. Tiket-tiket boleh didapatkan di kaunter tiket grandstand, kaunter tiket pintu B1 dan E1.
Kemasukan adalah percuma bagi kanak-kanak berumur 5 tahun ke bawah dan pemegang kad Orang Kelainan Upaya (OKU).