Wajib ‘booster’ untuk masuk stadium – MFL

Seri Manjung – Penonton yang menerima vaksin Sinovac diwajibkan mengambil dos penggalak sebagai syarat utama untuk masuk ke stadium bagi menyaksikan perlawanan Liga Malaysia 2022.

Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), Stuart Ramalingam menjelaskan pihaknya telah dimaklumkan berkenaan pembaharuan prosedur operasi standard (SOP) daripada Jabatan Belia dan Sukan Negara dimana penonton yang menerima vaksin Sinovac perlu mendapatkan dos penggalak bagi mengekalkan status vaksinasi lengkap.

Tambahnya lagi, selaras dengan SOP Am Sektor Sukan dan Rekreasi yang sedang berkuatkuasa di kawasan Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 4, penganjur Liga Malaysia termasuk penonton dikehendaki mematuhi protokol kesihatan yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Hari ini MFL menerima surat daripada Jabatan Belia dan Sukan Negara berhubung maklumat status vaksinasi bagi pegawai, pemain, petugas dan penonton bagi perjalanan Liga Malaysia pada tahun 2022.”

“Ingin dimaklumkan bahawa bagi penerima vaksin Sinovac berusia 18 tahun ke atas dan warga emas berusia 60 tahun ke atas yang menerima semua jenis vaksin perlu mendapatkan dos penggalak bagi mengekalkan status vaksinasi lengkap.”

“Ini kerana tempoh masa yang ditetapkan sebelum ini iaitu 28 Februari 2022 kini dilanjutkan sehingga 31 Mac 2022 di mana status vaksinasi lengkap akan ditukarkan kepada tidak lengkap sekiranya belum mendapatkan dos penggalak.”

“Selain itu, penerima lengkap vaksin Pfizer dan AstraZeneca tanpa suntikan dos penggalak yang berusia 60 tahun ke atas dikira status vaksinasi tidak lengkap dan sekiranya mereka masih tidak mengambil suntikan dos penggalak sehingga 31 Mac 2022, mereka tidak dibenarkan turun ke stadium sebagaimana individu lengkap vaksinasi sahaja dibenarkan.”

“Hanya kanak-kanak umur 13 tahun ke atas dibenarkan hadir ke stadium jika lengkap dua dos vaksinasi,” tambahnya lagi.

MFL turut menjelaskan di mana, SOP yang telah dikeluarkan oleh ini telah dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 4, kuota kemasukan penonton bagi setiap perlawanan adalah 50 peratus daripada kapasiti stadium atau maksimum 20,000.

MFL juga tidak menggalakkan penonton berumur 60 tahun ke atas yang mempunyai masalah kesihatan atau penyakit kronik dan individu kontak rapat bergejala dinasihatkan tidak hadir ke stadium.

Buat masa ini selaras dengan SOP semasa pihak kerajaan, sebarang aktiviti makan minum sepanjang berada di dalam stadium semasa separuh masa pertama atau sepanjang perlawanan adalah tidak dibenarkan.

The Dindings Ledger

The Dindings Ledger (TDL) adalah portal berita yang diwujudkan oleh beberapa anak muda yang berasal dari Seri Manjung, Perak. Bertujuan untuk memberikan maklumat kepada penduduk daerah Manjung mengenai perkembangan negara khususnya di daerah Manjung.