Seri Manjung – Kanak-kanak berusia empat dan lima tahun sudah boleh mendapatkan imunisasi pneumokokal secara percuma di semua fasiliti kesihatan primer Kementerian Kesihatan (KKM) yang bermula hari ini, 1 Jun 2023 sehingga 31 Mei 2024 tahun hadapan.
Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa berkata, ia adalah program perluasan pemberian imunisasi pneumokokal kerana sebelum ini kanak-kanak yang lahir pada 2018 dan 2019 tidak termasuk dalam kumpulan sasaran pemberian vaksin pneumokokal di bawah Program Imunisasi Kebangsaan.
Dr. Zaliha berkata, KKM menyasarkan 70% atau 700,000 daripada satu juta kanak-kanak yang lahir pada 2018 dan 2019 untuk diberikan vaksin pneumokokal dalam tempoh setahun ini.
Kanak-kanak berusia empat dan lima tahun akan diberikan satu dos vaksin pneumokokal berbanding bayi dimana sebanyak tiga dos akan diberikan pada usia empat bulan, enam bulan dan 15 bulan.
“Bagi ibu bapa atau penjaga yang ingin mendapatkan vaksin pneumokokal untuk anak mereka boleh secara datang terus ke klinik-klinik kesihatan dan desa di seluruh negara atau membuat janji temu di aplikasi MySejahtera,” katanya.
KKM mula melaksanakan pemberian vaksin pneumokokal dalam Program Imunisasi Kebangsaan sejak 1 Dis 2020 bagi kanak-kanak yang lahir bermula 1 Jan 2020.
Di bawah Program Imunisasi Kebangsaan untuk bayi dan kanak-kanak, terdapat 11 jenis produk vaksin diberikan untuk mencegah 13 penyakit cegahan vaksin iaitu Tuberkulosis, Hepatitis B, Difteria, Tetanus (kancing gigi), Pertussis (batuk kokol), Haemophilus influenza type B, polio, measles (campak), mumps (beguk), dan rubella, tambahnya.