Seri Manjung – Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) diminta agar tidak campur tangan dengan tindakan Malaysia menghantar pulang pelarian Myanmar di Malaysia ke negara asal mereka.
Kenyataan tersebut dikeluarkan sendiri oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berhubung kenyataan UNHCR yang mengecam Malaysia mengenai penghantaran pulang warga Myanmar dari negara ini.
“UNHCR atau Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) atau mana-mana sekali pun, jika orang yang kita tangkap itu masuk dengan cara sah dan mempunyai dokumen, kemudian langgar undang-undang dan dihukum, akhirnya kita hantar mereka balik.
“Sebagai sebuah negara yang bermaruah, saya fikir kita patut jaga negara kita dahulu sebelum jaga orang luar”
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin
“Orang luar jangan masuk campur melainkan mereka (warga asing) yang termasuk dalam kategori pelarian politik. Kita tidak akan hantar mereka yang akan menyebabkan mereka ‘hilang’ di negara sendiri.
“Ada kesalahan yang sudah sampai tempoh masanya untuk kita hantar pelarian balik, kita akan hantar balik.
“Jika kita tangkap sesiapa yang melakukan kesalahan dalam negara ini, bermakna dia melanggar undang-undang. Kita tengok siapa mereka, bukan hanya warga Myanmar dan bukan hanya datang dari satu negara, sebaliknya seluruh dunia,” tegas Hamzah Zainudin.
Beliau juga berharap semua pihak patut tahu bahawa setiap tindakan yang diambil oleh kerajaan bukannya atas arahan pihak tertentu.
Beliau turut mengatakan bahawa, beberapa badan bukan kerajaan (NGO) tertentu bersahabat baik dengan UNCHR kerana mempunyai kepentingan dan niat-niat tertentu.
Hamzah turut menjelaskan, Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan meneliti sebelum buat keputusan apakah UNCHR patut berada di Malaysia atau pun tidak.
“Sebagai sebuah negara yang bermaruah, saya fikir kita patut jaga negara kita dahulu sebelum jaga orang luar,” katanya.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh UNHCR pada 25 Oktober 2022 yang lalu, pihak mereka telah menerima pelbagai laporan yang membimbangkan mengenai penghantaran pulang ratusan warga Myanmar dari Malaysia sejak April 2022.
Mereka yang dihantar pulang termasuklah individu yang mencari perlindungan antarabangsa.