Istanbul – Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan mengisytiharkan darurat selama tiga bulan di 10 wilayah negara itu dalam satu pengumuman yang dibuat pada hari ini, Selasa.
Turkiye dan negara jirannya, Syria, mengalami dua gempa bumi berturut-turut yang paling kuat di rantau tersebut dalam hampir satu abad.
Ianya telah mengakibatkan kemusnahan kawasan yang begitu besar, meragut nyawa dan menghancurkan bangunan bersamanya.
Setakat hari ini, Selasa, 7 Februari 2023, angka kematian akibat gempa itu telah melebihi 5,100 nyawa dengan ramai yang masih hilang dan cedera parah.
Lebih memburukkan lagi keadaan, ribut salji turut membadai kawasan-kawasan yang telah dilanda bencana seismik tersebut.
Keadaan tersebut akan menyebabkan situasi di kawasan-kawasan tersebut menjadi semakin buruk.
Pada hari yang sama (Selasa) juga, kerajaan Turki mengumumkan permulaan tujuh hari berkabung.
Kedua-dua gempa bumi yang berlaku hanya selang 9 jam dengan ukuran 7.8 Skala Richter di Turki dan 7.5 Skala Richter di Syria.
Ia telah memusnahkan sekurang-kurangnya 6,000 bangunan dengan kebanyakan penduduk masih berada di dalam. Usaha menyelamat diteruskan serta-merta oleh kerajaan Turki dan telah mengerahkan hampir 25,000 anggota mencari dan menyelamat.
Negara dari seluruh dunia komited untuk mengulurkan bantuan dan disambut dengan perasaan terharu dari kedua-dua negara tersebut.
Bumi Syria yang sudah lumpuh akibat peperangan selama bertahun-tahun adalah sebuah negara yang tidak bersedia untuk menghadapi krisis seperti itu.
Wilayah yang dilanda gempa merupakan tempat ribuan orang pelarian yang tinggal di dalam khemah dan pondok sementara.
Selain itu, infrastruktur perkhidmatan kesihatan dan kecemasan yang sangat daif dan tidak mencukupi untuk menampung mangsa-mangsa yang tercedera.
Dalam masa yang sama, Erdogan berkata, kerajaannya akan menghantar lebih 50,000 pekerja bantuan ke kawasan kejadian dan memperuntukkan 100 bilion Lira Turki (AS$5.3 bilion) dalam bentuk bantuan kewangan.
Foto | UN Volunteers