Lumut – TLDM dalam satu kenyataan media semalam (Isnin) menyatakan, Kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), KD Laksamana Hang Nadim berjaya mengekang 13 buah bot nelayan asing dari memasuki perairan negara berhampiran Pulau Perak, Kedah, pada jam 5.50 petang Isnin, semalam.
Terdahulu, Pusat Operasi Armada (POA) Barat telah menerima maklumat dari Control Reporting Center (CRC) Kuantan berhubung pengesanan 13 bot nelayan asing yang berada 65 batu nautika di tenggara Pulau Perak melalui Pesawat CL 415 MP milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

Maklumat pengesanan tersebut terus disalurkan kepada komponen maritim bagi tujuan tindakan lanjut.
KD Laksamana Hang Nadim yang sedang dalam penugasan Op Benteng Laut telah diatur gerak ke lokasi dan telah mengesan keberadaan kesemua 13 buah bot nelayan asing di kedudukan tersebut.
Tindakan pengusiran terus dilaksanakan dengan KD Laksamana Hang Nadim membayangi bot nelayan asing sehingga keluar meninggalkan sempadan perairan negara.

“Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tidak akan berkompromi terhadap sebarang ancaman melibatkan keselamatan dan kedaulatan negara.
“Sehubungan itu, TLDM akan sentiasa memperkasakan rondaan di perairan negara dalam usaha memastikan kedaulatan dan khazanah negara kekal selamat dan terpelihara”.
Foto | TLDM