Boston – Lima penumpang kapal selam Titan dalam perjalanan untuk melihat bangkai kapal persiaran mewah lagenda, Titanic dilaporkan telah meninggal dunia.
Pengawal Pantai Amerika Syarikat (AS), John Mauger berkata, kapal selam Titan yang dilaporkan hilang sejak Ahad lalu itu dipercayai telah meletup sekelip mata berhampiran bangkai Titanic yang karam 3,800 meter pada dasar Laut Atlantik Utara.
“Pencarian akan diteruskan dalam usaha untuk mencari mayat mangsa,” tambahnya lagi.
Kapal selam malang tersebut membawa lima penumpang termasuk jutawan Britain, Hamish Harding, ahli perniagaan Pakistan-British, Shahzada Dawood dan anak lelakinya, Suleman, ketua pegawai eksekutif (CEO) yang juga pengasas OceanGate, Stockton Rush dan peneroka laut dalam terkenal dari Perancis, Paul-Henry Nargeolet.
OceanGate mengenakan bayaran sebanyak AS$250,000 (RM1.2 juta) bagi setiap seorang untuk ekspedisi ke bangkai Titanic, yang terletak pada kedalaman 3,800 meter, kira-kira 700 kilometer ke selatan St John’s, Newfoundland.