Tiada imbasan kod QR dan tiada lagi penjarakan fizikal
Seri Manjung – Dengan mengambil kira pengumuman tentang kelonggaran SOP berkaitan Covid-19 yang dibuat oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) semalam, Menteri Kanan Pendidikan, Senator Dr. Mohd Radzi Jidin berkata, imbasan kod QR MySejahtera sudah tidak diwajibkan apabila memasuki premis institusi pendidikan bermula 1 Mei 2022 ini.
Dalam keadaan tertentu, sesetengah sekolah mengalami kekangan dalam menetapkan jarak 1 meter di antara pelajar di dalam kelas.
“Dengan ini tidak ada lagi penjarakan fizikal di dalam kelas dan kawasan sekolah. Namun begitu penjarakan fizikal digalakkan sekiranya tidak memakai pelitup muka.
“Tetapi guru-guru perlu memastikan murid-murid memakai pelitup muka jika berada di dalam kelas,” kata Radzi Jidin.
Dengan ini tidak ada lagi penjarakan fizikal di dalam kelas dan kawasan sekolah. Namun begitu penjarakan fizikal digalakkan sekiranya tidak memakai pelitup muka
Menteri Kanan Pendidikan, Senator Dr. Mohd Radzi Jidin
Selain itu, kehadiran murid ke sekolah juga adalah diwajibkan. Ianya seiringan dengan peralihan negara ke fasa endemik. Ibu bapa atau penjaga perlu memaklumkan ketidakhadiran murid kepada pihak sekolah.
Pengurusan Murid Bergejala dan Positif Covid-19
Bagi pengurusan murid bergejala dan positif COVID-19, murid tersebut perlu diasingkan di bilik isolasi dan kemudian akan menjalankan ujian kendiri.
Menurut Radzi Jidin, “Jika murid tersebut negatif, murid boleh mengikuti pembelajaran tetapi perlu memakai pelitup muka. Sekiranya positif, guru perlu menghubungi ibu bapa untuk menjemput anak mereka dan bawa pulang ke rumah.”