Terengganu rapatkan saf

Kuala Terengganu – Bermula 1 April 2022, solat berjemaah dibenarkan untuk dilaksanakan tanpa penjarakan fizikal. Perkara itu diumumkan oleh Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam), Datuk Shaikh Harun Shaikh Ismail dalam satu kenyataan media petang tadi, susulan negara bakal beralih ke fasa endemik bermula 1 April ini.

“Aktiviti kemasyarakatan seperti gotong-royong dan jamuan makan selepas aktiviti pengajaran agama dan kemasyarakatan juga dibenarkan,” katanya lagi.

Bagi aktiviti majlis akad nikah yang berlangsung di masjid, surau atau premis persendirian, ianya dibenarkan dan tanpa ada had kapasiti. Bagaimanapun, garis panduan majlis akad nikah yang terperinci akan dikeluarkan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) sebagai rujukan dan panduan kepada bakal pengantin dan jurunikah.

Dalam masa yang sama, Shaikh Harun Shaikh Ismail turut menyatakan bahawa semua masjid dan surau di negeri Terenggau dibenar melaksanakan aktiviti keagamaan di sepanjang bulan Ramadan, ianya termasuk solat Tarawih, majlis berbuka puasa, moreh, bacaan al-Quran secara berjemaah, qiamullail dan lain-lain aktiviti yang bersesuaian.

“Solat sunat Hari Raya Aidilfitri juga dibenar untuk dilaksanakan tanpa penjarakan fizikal dan dirapatkan saf,” tambahnya lagi.

Kehadiran jemaah bagi aktiviti bulan Ramadan dan solat sunat Hari Raya Aidilfitri di masjid dan surau dibenarkan kepada jemaah lelaki dan perempuan termasuk kanak-kanak berumur 7 tahun dan ke atas.

Datuk Shaikh Harun Shaikh Ismail melalui kenyataan media itu juga membenarkan umat Islam di negeri ini untuk menziarahi tanah perkuburan serta solat jenazah juga boleh dilaksanakan tanpa penjarakan fizikal.

Bagaimanapun katanya, semua aktiviti di masjid dan surau perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi mengekang penularan COVID-19 dan jemaah diwajibkan memakai pelitup muka, mengguna dan mengimbas aplikasi MySejahtera atau tulis di dalam buku yang telah disediakan oleh pihak jawatankuasa surau dan masjid.

Bagi jemaah yang bergejala seperti demam, batuk dan selsema tidak dibenarkan hadir ke masjid atau surau. Bersalaman dikalangan jemaah juga tidak dibenarkan, tambahnya.

The Dindings Ledger

The Dindings Ledger (TDL) adalah portal berita yang diwujudkan oleh beberapa anak muda yang berasal dari Seri Manjung, Perak. Bertujuan untuk memberikan maklumat kepada penduduk daerah Manjung mengenai perkembangan negara khususnya di daerah Manjung.