Tangguh aktiviti luar bilik darjah – KPM
Seri Manjung – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengarahkan kesemua institusi pendidikan di bawah kelolaan kementerian tersebut untuk menangguhkan aktiviti luar yang membabitkan murid, guru dan anggota kumpulan pelaksana.
Pekeliling tersebut yang berkuat kuasa pada Rabu lalu dan wajib dipatuhi oleh semua guru besar dan pengetua di seluruh negara susulan situasi cuaca panas yang melanda negara ketika ini.
Antara aktiviti yang dilarang adalah merentas desa, kawad, sukan dan permainan, perkhemahan serta pengajaran dan pembelajaran (PdP) luar bilik darjah bagi mengelakkan serangan strok haba.
KPM turut memberi kebenaran khas kepada murid, guru dan anggota kumpulan pelaksana untuk memakai pemakaian pakaian sukan yang sopan semasa cuaca panas bagi mengelakkan sebarang komplikasi kepada kesihatan.
Pemakaian tali leher juga tidak diwajibkan bagi murid yang memakai pakaian seragam sekolah.
Beberapa hari lalu, KPM juga mengeluarkan garis panduan untukmembenarkan sekolah ditutup sekiranya cuaca panas berada pada tahap amaran 2 dengan suhu tertinggi melebihi 37 darjah Celsius selama tiga hari berturut-turut.
Selain sekolah, surat siaran berkuat kuasa serta-merta itu terpakai untuk semua institusi pendidikan di bawah KPM sekiranya kawasan mereka diisytiharkan terkesan mengalami gelombang haba oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).