Ipoh – Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad menafikan bahawa Tanah Rizab Melayu di Perak berkurangan sepertimana yang dinyatakan oleh Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad dalam sidang Dewan Rakyat pada Rabu lepas.
Dalam sidang Dewan Rakyat tersebut, Nik Nazmi memaklumkan keluasan TRM di Perak menurun daripada 953,042.67 hektar kepada 953,040.87 hektar tahun lalu.
Berdasarkan Data Tanah Rizab Melayu Negeri Perak yang dikeluarkan Pejabat Tanah dan Galian (PTG), Perak merekodkan jumlah tanah adalah seluas 953,075.79 hektar pada tahun 2022.
“Daripada jumlah data keluasan Tanah Rizab Melayu Negeri Perak yang dikumpul sejak 1947, ia menunjukkan peningkatan, jadi saya tak pasti bagaimana dalam jawapan itu mengatakan berlaku proses penurunan kerana, dari semasa ke semasa dalam mesyuarat Exco sentiasa meluluskan keluasan tertentu untuk menambah bilangan tanah rizab Melayu ini.
“Bagaimanapun, jika terdapat keluasan tanah-tanah tertentu yang terpaksa dibatalkan status rizab Melayu oleh kerana pembangunan ia tidak boleh dilakukan sewenang-wenangnya.
“Jika kita nak batalkan oleh kerana pembangunan yang diperlukan contoh untuk bina hospital, sekolah atau buat jalan, harga tanah seluas yang sama atau lebih akan diwartakan semula sebagai Tanah Rizab Melayu,” tegas Saarani.
Saarani turut menjelaskan bahawa, pada masa ini PTG Perak dalam proses untuk mewartakan kawasan seluas 996.04 hektar untuk Tanah Rizab Melayu.
“Jika siap sukat dan sebagainya maka tanah ini akan diluluskan dalam mesyuarat Exco dan kita berikan hak milik kepada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk).
“Ini kerana ada kawasan-kawasan yang diberikan kepada MAIPk maka kita yakin tidak berlaku penurunan tetapi dari semasa ke semasa akan berlaku peningkatan,” katanya.
Dalam masa yang sama Saarani Mohamad turut menegaskan bahawa Kerajaan Negeri Perak sentiasa berusaha untuk meningkatkan Tanah Rizab Melayu sehingga 50%.
Foto | FB Saarani Mohamad