Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani

Sze Fei-Izzuddin juara Terbuka Jerman 2022

Badminton Sukan

Seri Manjung – Beregu negara yang menduduki ranking-17 dunia, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani akhirnya berjaya merangkul kejuaraan terbesar mereka setelah menjuarai Terbuka Jerman 2022 sebentar tadi.

Sze Fei-Izzuddin dipaksa bermandi peluh selama 1 jam 10 minit sebelum menewaskan pasangan dari Tembok Besar China, Liu Yuchen-Ou Xuanyi dengan keputusan 23-21, 16-21, 21-14 pada perlawanan akhir Terbuka Jerman di Mulheim.

Ini adalah penampilan kedua mereka dalam kejohanan peringkat tertinggi selepas Malaysian Masters di Sibu pada 2017. Kali ini, pasangan beregu muda negara tersebut membawa balik hasil yang membanggakan.

Thailand menyapu bersih dua gelaran menerusi Kunlavut Vitidsarn (perseorangan lelaki) dan Dechapol Puavaranukroh-T. Sapsiree (beregu campuran) manakala China terus menunjukkan penguasaan dalam acara wanita dengan menang menerusi He Bingjiao (perseorangan wanita) dan Chen Qingchen-Jia Yifan (beregu wanita).