‘Supermoon’ pada 5.09 petang hari ini
Seri Manjung – Hari ini, 13 Julai 2022, penduduk Malaysia dijangka dapat melihat ‘Supermoon’ bermula jam 5.09 petang waktu Malaysia. Nama lain bagi ‘Supermoon’ adalah ‘Super Full Moon’ atau ‘Super New Moon’.
Menurut Agensi Angkasa Malaysia (MYSA), fenomena ini terjadi berikutan kedudukan bulan penuh atau bulan baru berada paling hampir dengan bumi atau disebut sebagai perigee dengan jarak adalah 357,263 kilometer (km).
“Bulan beredar mengelilingi bumi dalam orbit dengan purata nilai keeksentrikan 0.0549. Oleh itu, purata jarak bulan dari bumi (pusat ke pusat) adalah berbeza pada setiap masa dengan jarak purata paling dekat (perigee) adalah 363,396 kilometer (km) dan jarak purata paling jauh (disebut sebagai apogee) adalah 405,504 km,” jelas MYSA lagi.
Sewaktu berlakunya fenomena ‘Supermoon’, bulan penuh kelihatan 7 hingga 14% lebih besar daripada bulan penuh biasa dan 30% lebih cerah daripada ‘Micromoon’.