IPOH – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan menerima bayaran zakat perniagaan berjumlah RM2.6 juta daripada lima syarikat korporat kepada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) di Istana Kinta hari ini.
Lima syarikat tersebut adalah Lumut Maritime Terminal Sdn Bhd, Ipoh Specialist Hospital Sdn Bhd, Perak Integrated Network Services Sdn Bhd, YP Nominess Holdings Sdn Bhd dan Koperasi Anggota Kerajaan Ipoh Berhad.
Penyerahan zakat itu didahului oleh Lumut Maritime Terminal Sdn Bhd yang diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mubarak Ali Gulam Rasul dengan jumlah bayaran sebanyak RM1,338,838.41.
Kemudiannya diikuti oleh Ipoh Specialist Hospital Sdn Bhd yang diwakili Ketua Pegawai Eksekutif, Yusmah Salleh dengan jumlah RM488,568.78.
Perak Integrated Network Services Sdn Bhd pula diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Iwan Che Wan Che Ismail menyerahkan zakat perniagaan berjumlah RM325,000.
Turut menunaikan zakat perniagaan YP Nominess Holdings Sdn Bhd berjumlah RM321,738.25 yang diserahkan oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Rozita binti Ramli.
Serahan zakat perniagaan terakhir diserahkan oleh, Pengerusi Koperasi Anggota Kerajaan Ipoh Berhad, Mohd Hasrizad bin Zaman dengan jumlah zakat RM146,054.69.
Antara yang turut hadir dalam majlis itu adalah Orang Kaya Kaya Seri Adika Raja Shahbandar Muda, Datuk Seri Mohamad Othman Zainal Azim; Orang Besar Jajahan Kinta, Toh Muda Orang Kaya Kaya Panglima Kinta Seri Amar Bangsa DiRaja, Datuk Ab Wahab Azizul Hassan dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIPk, Shahrul Azam Shaari.