Sultan Nazrin perkenan tarawih tanpa jarak

Ipoh – Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah berkenan membenarkan semua masjid dan surau di negeri Perak menunaikan solat berjemaah tanpa penjarakan fizikal bermula 1 April 2022.

DYMM Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, langkah berkenaan diambil selaras dengan Fasa Peralihan Endemik di seluruh negara bermula pada tarikh tersebut.

“Bermula solat Subuh Jumaat, 1 April 2022, solat fardu, solat Jumaat dan solat jenazah boleh dilaksanakan tanpa penjarakan fizikal di antara jemaah dan bilangan jemaah berdasarkan kepada keluasan ruangan masjid atau surau.

“Walau bagaimanapun, demi melindungi keselamatan para pelajar, terutama yang berada di sekolah asrama penuh, pengetua sekolah dan pusat-pusat pengajian sama ada universiti, maktab dan kolej, diberikan budi bicara masih boleh mengadakan solat Jumaat dalam surau, bangunan atau kawasan institusi masing-masing,” titah baginda.

Baginda bertitah sedemikian sempena Sesi Sembah Taklimat Aktiviti Masjid dan Surau di Negeri Perak Fasa Peralihan Endemik di Bangunan Setiausaha Kerajaan Perak petang tadi.

“Jawatankuasa dan pegawai masjid diberikan budi bicara untuk menentukan bilangan rakaat Solat Tarawih yang difikirkan munasabah di masjid dan surau masing-masing walaupun negeri Perak pada lazimnya menetapkan 20 rakaat Solat Tarawih.

“Untuk meminimumkan tempoh pendedahan jemaah kepada udara yang terperangkap dalam bangunan, tazkirah yang dibenarkan selepas solat witir hendaklah tidak melebihi 30 minit,” titah baginda.

Jelas DYMM Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah lagi, program qiamullail dan iktikaf pada waktu malam di masjid dan surau dibenarkan dengan mengambil langkah-langkah pencegahan jangkitan berpandukan nasihat Jabatan Kesihatan. Tadarus al-Quran, kuliah dan kelas pengajian juga dibenarkan di masjid dan surau.

Hidangan berbuka puasa (iftar), hidangan selepas tarawih (moreh) dan hidangan sahur di masjid dan surau, dibolehkan dengan penyediaan makanan bungkus dan tidak dibenarkan jamuan secara hidangan terbuka, terutama selepas tarawih.

“Apabila mendapat laporan dan maklumat, serta perakuan dari Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Jabatan Kesihatan, bahawa angka jangkitan di kawasan tertentu dianggap kritikal, Pegawai Tadbir Agama Daerah (PTAD) setelah berunding dan mendapat persetujuan Orang Besar Jajahan (OBJ) atau Pegawai Daerah (DO) boleh mengeluarkan arahan menggantung mana-mana masjid dan surau daripada kelonggaran SOP yang diperkenankan ini dan mengenakan peraturan SOP untuk tempoh tertentu berpandukan nasihat MKN dan Jabatan Kesihatan.

“Kesemua aktiviti, pengurusan dan kesan terhadap perkara-perkara yang diperkenankan pada hari ini, akan dipantau secara teliti terutama oleh MKN dan Jabatan Kesihatan dengan bantuan dan kerjasama Orang Besar Jajahan (OBJ), Pegawai Daerah (DO) dan Pegawai Tadbir Agama.

“Beta amat memahami harapan rakyat, namun rakyat perlulah mengamalkan budaya berakit-rakit dahulu, berenang-renang ke tepian. Bersyukurlah dengan apa yang telah dibenarkan ketika ini, yang jauh lebih baik daripada apa yang dilalui dua Ramadhan yang lalu. Rakyat sewajarnya bersyukur dengan pelangi harapan yang terlukis di kaki langit. Semoga pelangi harapan ini akan disusuli dengan pancaran sinar yang lebih terang menjelang Syawal nanti, agar Aidilfitri akan dapat disambut dalam suasana yang lebih meriah,” titah baginda lagi.

Dalam perkembangan sama, DYMM Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah maklum mengenai kadar peratusan rakyat negeri Perak yang menerima suntikan penggalak masih rendah, terutama dalam kalangan penduduk di luar bandar dan dalam kalangan umat Islam. 

“Orang Besar Jajahan (OBJ) dan Pegawai Tadbir Agama Daerah (PTAD) hendaklah berperanan aktif menyedarkan rakyat di luar bandar pentingnya ditingkatkan daya tahan tubuh atau imuniti untuk menangani wabak COVID-19.

“Orang Besar Jajahan (OBJ) dan Pegawai Tadbir Daerah hendaklah turun ke kariah-kariah, menjalinkan kerjasama dengan jawatankuasa masjid atau surau dan mengenalpasti ahli-ahli kariah yang mungkin perlu dibantu daripada segi pemahaman dan urusan untuk mendapatkan suntikan,” titah Sultan Nazrin.

Foto | Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak

The Dindings Ledger

The Dindings Ledger (TDL) adalah portal berita yang diwujudkan oleh beberapa anak muda yang berasal dari Seri Manjung, Perak. Bertujuan untuk memberikan maklumat kepada penduduk daerah Manjung mengenai perkembangan negara khususnya di daerah Manjung.