Batu Gajah – Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah hari ini berkenan bercemar duli merasmikan galeri kartunis tersohor negara, Datuk Mohd Nor Khalid atau lebih dikenali sebagai Lat yang terletak di Jalan Bemban, Batu Gajah.
Turut berangkat ke majlis adalah Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim.
Pasangan diraja negeri Perak itu disambut oleh Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad dan Lat.
Baginda turut berkenan menganugerahkan kartunis tersohor negara itu dengan gelaran Seniman Diraja.
Sultan Nazrin bertitah, anugerah itu adalah pengiktirafan terhadap peranan dan sumbangan besar kartunis tersohor itu memperkenalkan Malaysia di pentas antarabangsa dan mengharumkan nama negara.
Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim merangkap Pengerusi Lembaga Pengarah, Lembaga Muzium Negeri Perak dan barisan exco kerajaan negeri.
Sultan Nazrin bertitah, khazanah yang dipamerkan di Galeri Rumah Lat diharapkan akan menjadi sumber inspirasi kepada rakyat terutama anak muda Malaysia.
Baginda bertitah, legasi seniman agung itu harus diperturunkan kepada generasi muda sebagai pewaris seterusnya dan menjadi sumber khazanah yang amat bernilai buat rakyat.
“Semoga Galeri Rumah Lat, kekal sebagai satu simbol pencapaian hebat seorang seniman yang Allah SWT telah mengurniakan bakat tersangat istimewa dan luar biasa,” titah baginda.
Sultan Nazrin bertitah, melalui lakaran yang santai dan bersahaja, Lat berjaya mengetengahkan pemerhatian yang tajam mengenai kehidupan masyarakat majmuk yang hidup dalam harmoni.
Titah baginda, karikatur Lat banyak menceritakan mengenai perkara yang benar-benar berlaku dalam kehidupan masyarakat majmuk yang terdiri daripada pelbagai kaum, menganut pelbagai agama, mengamalkan pelbagai budaya dan menguasai pelbagai bahasa.
“Karyanya, membawa mesej jelas bahawa rakyat yang pelbagai itu sebenarnya memiliki naluri asas mahu hidup secara aman dan harmoni dalam semangat saling hormat-menghormati, rakyat yang pelbagai itu pada asasnya tidak berprasangka buruk antara satu sama lain hanya kerana berlainan kaum, fahaman agama, amalan budaya dan penguasaan bahasa.
“Galeri Rumah Lat mempamerkan sejarah hidup, liku-liku perjalanan seorang anak seni, merakamkan pelbagai pencapaian dan pengiktirafan yang dicapai oleh seorang ‘kampung boy’ yang berhijrah menjadi ‘town boy‘ dan kini bertaraf seniman ternama di peringkat antarabangsa.
“Tetapi Lat kekal dengan sifat rendah diri seorang anak kampung, laksana padi, semakin berisi semakin tunduk. Semoga Allah SWT mengurniakan Lat sebaik-baik kesihatan dan usia untuk terus berkarya,” titah baginda.
Sultan Nazrin kemudian berkenan melakukan gimik perasmian dan menandatangani plak perasmian sebelum melakukan lawatan ke Galeri Rumah Lat.
Galeri tersebut akan diurus oleh Lembaga Muzium Negeri Perak dan ianya dibuka setiap hari bermula jam 8 pagi sehingga 5 petang.