Logo JAWI

Solat jemaah tanpa jarak dibenar mulai 1 April ini

Berita

Kuala Lumpur – Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) menerusi Pengarahnya, Datuk Mohd Ajib Ismail, membenarkan solat berjemaah tanpa penjarakan fizikal di masjid dan surau di Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya mulai 1 April 2022 dalam satu kenyataan media yang dikongsikan di Facebook jabatan tersebut semalam.

Kebenaran tersebut merupakan salah satu dari enam ketetapan yang telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan ianya selaras dengan pengumuman kerajaan berkaitan Fasa Peralihan Ke Endemik.

Pengarah JAWI, Datuk Mohd Ajib Ismail berkata, antara ketetapan lain yang perlu dipatuhi ialah jemaah digalakkan untuk membawa dan menggunakan sejadah sendiri.

Selain itu, kehadiran ke masjid dan surau dibenarkan tanpa had umur kepada mereka yang telah menerima suntikan vaksinasi Covid-19.
“Masjid dan surau juga dibenarkan untuk melaksanakan Solat Sunat Tarawih 20 rakaat pada bulan Ramadan. Manakala Qiamullail dibenarkan untuk diadakan di masjid dan surau mulai tengah malam,” tambahnya lagi.

Majlis berbuka puasa, moreh dan sahur turut dibenarkan untuk diadakan di masjid dan surau dan makanan digalakkan untuk disediakan secara berbungkus.

“Pada masa sama, aktiviti tadarus al-Quran di masjid dan surau boleh dilaksanakan pada mana-mana waktu yang bersesuaian dalam bentuk kumpulan kecil,” katanya.

Menurut Datuk Mohd Ajib lagi, kesemua kebenaran tersebut adalah tertakluk kepada Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan selaras dengan nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Beliau turut berharap agar lebih ramai jemaah dapat mengimarahkan masjid dan surau di Wilayah-Wilayah Persekutuan dan terus bermunajat dan berdoa agar penularan wabak Covid-19 segera dibendung serta negara Malaysia sentiasa mendapat perlindungan dan kesejahteraan daripada Allah SWT.