Seri Manjung – Ketua jurulatih Perak FC, Yusri Che Lah mendapat sokongan penuh dan kepercayaan dari Lembaga Pengarah Perak FC dalam pengurusan skuad Perak FC.
Pengerusi Perak FC, Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi memahami perasaan kecewa peminat kerana kekalahan 0-2 di tangan PDRM dalam aksi Liga Premier pada Ahad lalu.
“Kami memahami kekecewaan peminat (kalah kepada PDRM).
“Namun kami akan terus berusaha untuk memastikan Perak FC adalah pasukan bola sepak yang boleh dibanggakan oleh peminat setia bola sepak Perak.
“Kami yakin bahawa Yusri Che Lah akan melakukan yang terbaik dalam membentuk pasukan yang baru dan menghasilkan pemain yang kompetitif.
“Mereka pasti akan mengekalkan gaya permainan yang pantas dan menarik seperti skuad The Bos Gaurus yang lama,” jelas Abdul Azim.
Lembaga Pengarah Perak FC sebelum itu mengucapkan terima kasih kepada peminat yang telah hadir di Stadium KLFA, Cheras sewaktu menentang PDRM FC.
Dalam waktu yang sama, Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi berharap kehadiran penyokong pada perlawanan akan datang mampu menjadikan Stadium Perak sebagai kubu kuat Perak FC.
Untuk aksi Liga Premier pada 16 Julai ini, Perak FC akan menentang T-Team ii di Stadium Perak pada jam 9 malam.
Foto | Perak Football Club