Seri Manjung – Kim Pan-gon memulakan sesi latihan pertamanya bersama skuad Harimau Malaya sejak mengambil alih jawatan sebagai ketua jurulatih yang sebelum ini dipegang oleh Tan Cheng Hoe.
Tan Cheng Hoe meletakkan jawatan sebagai ketua jurulatih ekoran prestasi buruk skuad Harimau Malaya yang tersingkir di peringkat kumpulan dalam Kejohanan AFF Suzuki Cup 2020 hujung tahun lalu.
Seramai 25 daripada 30 pemain telah melaporkan diri pada hari pertama sesi latihan skuad Harimau Malaya di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Isnin, semalam. Skuad Kim Pan-gon dijadualkan berlatih selama lapan hari di Bukit Jalil sebelum berlepas ke Singapura pada 22 Mac ini.
Antara pemain-pemain yang masih belum melaporkan diri pada sesi latihan semalam adalah, Safawi Rasid (urusan keluarga), Khair Jones (kuarantin) dan Darren Lok (kuarantin).
Manakala dua lagi pemain yang berpangkalan di luar negara, Dion Cools (Belgium) dan Liridon Krasniqi (India) akan menyertai rakan sepasukan di Singapura minggu hadapan.
Menurut Pan-gon, sesi latihan pada hari ini (semalam) sangat sukar ekoran semua pemain baru tiba dan tumpuan lebih diberikan kepada proses pemulihan sebelum latihan penuh bermula Rabu ini.
“Malam tadi (Ahad) ramai dalam kalangan pemain beraksi dalam saingan Piala FA bersama kelab masing-masing. Jadi kami berikan keutamaan kepada proses pemulihan,” tambahnya.
Keupayaan skuad Kim Pan-gon akan diuji dalam dua aksi persahabatan antarabangsa menentang Filipina (23 Mac) dan Singapura (26 Mac) yang berlangsung di Stadium Nasional Singapura.
Skuad Harimau Malaya juga bertemu pasukan Liga Singapura, Albirex Niigata pada 28 Mac di Stadium Jalan Besar.
Perlawanan persahabatan itu digunakan sebagai persediaan menjelang Pusingan Ketiga Kelayakan Piala Asia 2023 pada Jun depan. Skuad Harimau Malaya diundi dalam Kumpulan E bersama-sama Bahrain, Turkmenistan dan Bangladesh.
Gambar sesi latihan Skuad Harimau Malaya:






