Sesi kedua SPM bermula 5 April – 19 Mei
Seri Manjung – Sesi kedua Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 akan bermula pada 5 April sehingga 19 Mei ini.
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memaklumkan bahawa, peperiksaan sesi kedua SPM 2021 itu melibatkan Ujian Bertutur dan Ujian Mendengar (Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris), Ujian Pencapaian Bahasa Antarabangsa, Ujian Bertulis dan Ujian Amali Sains.
Sesi kedua SPM 2021 ini dilaksanakan bagi calon-calon yang tidak dapat menduduki Ujian Bertutur dan Ujian Mendengar (Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris), Ujian Amali Sains dan Ujian Bertulis yang telah dilaksanakan pada 8 Februari hingga 29 Mac 2022 yang lalu.
Calon-calon yang tidak dapat menduduki ujian-ujian tersebut adalah mereka yang disahkan positif COVID-19, dan perlu menjalani tempoh kuarantin seperti yang diarahkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), calon yang terkesan akibat banjir atau kes-kes khas yang mendapat kelulusan Pengarah Peperiksaan.
Lembaga Peperiksaaan (LP) juga mengingatkan semua calon yang terlibat dengan peperiksaan SPM tahun 2021 sesi kedua ini agar menyemak, mengesahkan dan mencetak Pernyataan Pendaftaran Peperiksaan yang mengandungi maklumat pusat peperiksaan yang ditetapkan, tarikh, masa, kod dan kertas peperiksaan mulai 1 April 2022.
Kesemua maklumat tersebut boleh didapati melalui pautan https://elp.moe.gov.my atau melalui aplikasi mobile e-Lembaga Peperiksaan yang boleh dimuat turun melalui Google Play Store.
Calon-calon peperiksaan SPM tahun 2021 sesi kedua boleh memuat turun arahan yang perlu dipatuhi semasa peperiksaan berlangsung dari portal rasmi Lembaga Peperiksaan (LP), http://lp.moe.gov.my bermula 1 April 2022 ini.
KPM turut mengingatkan calon-calon supaya membawa dokumen pengenalan diri dan Pernyataan Pendaftaran Peperiksaan yang dicetak ke pusat peperiksaan.
Calon-calon juga perlu mematuhi Garis Panduan Pengurusan Pentaksiran Pusat dan Peperiksaan Awam yang terkandung dalam Garis Panduan Pengurusan dan Pengoperasian Sekolah 3.0 yang dikeluarkan oleh KPM serta prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan KKM.
Ketetapan ini adalah bagi memastikan kelancaran pengurusan peperiksaan dan pencegahan penularan wabak COVID-19. Garis panduan tersebut boleh dimuat turun dari portal rasmi KPM di https://www.moe.gov.my.
Berikut adalah tarikh peperiksaan SPM tahun 2021 sesi kedua:
