doan

Senjata makan tuan; Jerman (1)-(2) Jepun

Sukan Terkini

Seri Manjung – Jepun memberikan isyarat awal tentang misi dan visi kehadiran mereka di Piala Dunia 2022 apabila mengejutkan juara empat kali, Jerman dengan kemenangan 2-1 pada aksi kumpulan E sebentar tadi.

Dua pemain Jepun yang berpangkalan di Bundesliga, Ritsu Doan (SC Freiburg) dan Takuma Asano (VfL Bochum) melengkap kebangkitan Jepun dengan menjaringkan gol pada minit ke-75 dan 85.

Jerman yang mendominasi hampir 80% permainan pada satu tempoh dilihat mampu menjinakkan Jepun dengan keputusan selesa lebih banyak membuat percubaan dan gerakan berbahaya melalui Antonio Rüdiger, İlkay Gündoğan, Jamal Musiala, Kai Havertz dan Joshua Kimmich.

Pada minit ke-33, Jerman telah dihadiah sepakan penalti setelah penjaga gol Jepun, Shūichi Gonda menjatuhkan David Raum dalam situasi satu lawan satu.

İlkay Gündoğan menyempurnakan sepakan penalti tersebut dan Jerman kelihatan garang selepas gol tersebut.

Jerman gagal menambah gol sebelum tamat separuh masa pertama serta jaringan Kai Havertz turut dibatalkan akibat offside.

Separuh masa kedua menyaksikan juara empat kali itu tampil dengan lebih tajam untuk menambah jumlah gol.

Shūichi Gonda dilihat berada pada prestasi yang cukup baik apabila berjaya menjawab segala percubaan yang dibuat permain-pemain Jerman termasuk tiga percubaan dari Serge Gnabry.

Jepun yang hanya sekali-sekala melakukan serangan balas akhirnya mendapat jaringan yang ditunggu pada minit ke-75.

Hantaran silang rendah Takumi Minamino ditempis oleh Manuel Neuer dan bola tersebut menuju ke arah Ritsu Doan yang mengambil kesempatan atas peluang terhidang untuk menyamakan kedudukan.

Gol kemenangan Jepun dijaringkan oleh Takuma Asano pada minit ke-85.

Gol tersebut berpunca dari satu hantaran sepakan percuma dari kawasan Jepun. Pertahanan Jepun, Ko Itakura mengesan Takuma Asano tidak dikawal pemain Jerman.

Hantaran tersebut tepat ke arah Takuma Asano dan melepaskan rembatan dari sudut sempit untuk menewaskan penjaga gol Jerman, Manuel Neuer.

Jerman mencari gol penyamaan tetapi benteng Samurai Biru terlalu kebal bertahan sekali gus menghadiahkan kemenangan bermakna buat jaguh Asia itu.

Untuk pengetahuan, seramai lapan pemain Jepun yang beraksi di Piala Dunia 2022, Qatar, bermain di liga utama Jerman iaitu Bundesliga.

Foto | FIFA World Cup

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *