Sempadan negara dibuka 1 April 2022

Kuala Lumpur – Kerajaan memutuskan supaya sempadan negara dibuka bermula 1 April 2022.

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan ini dibuat bersandarkan kepada tiga perkara asas iaitu berpandukan sains dan fakta terkini berkaitan Covid-19, membandingkan keperluan pembukaan sempadan di negara-negara lain dan memberikan keselesaan serta tidak merumitkan perjalanan pengembara.

“Dengan pembukaan semula sempadan negara, rakyat Malaysia yang mempunyai dokumen perjalanan yang sah, boleh keluar masuk negara seperti biasa serta dibenarkan untuk pergi ke mana-mana negara yang turut membuka pintu sempadannya kepada pengembara luar.” Katanya lagi.

“Dalam masa yang sama, rakyat negara luar dengan dokumen perjalanan yang sah juga boleh melakukan pergerakan keluar masuk ke Malaysia tanpa perlu lagi memohon MyTravelPass yang akan dimansuhkan. Sebaliknya, hanya perlu muat turun dan mengaktifkan aplikasi MySejahtera serta melengkapkan Pre-Departure Form melalui fungsi “Traveller” dalam MySejahtera.” Tambahnya lagi dalam satu sidang media khas di Parlimen petang tadi.

Dengan mengambil kira situasi penularan Covid-19 terutamanya gelombang varian Omicron yang sedang melanda negara dan kebanyakkan negara seluruh dunia, terdapat beberapa prosedur yang wajib dipatuhi sama ada rakyat Malaysia mahupun pengembara dari luar.

“Bagi yang telah menerima vaksinasi lengkap, tiada keperluan untuk menjalani kuarantin dan hanya perlu melalui ujian pengesanan Covid-19 RT-PCR dua hari sebelum berlepas serta ujian RTK-Ag (profesional) dalam tempoh 24 jam selepas ketibaan,” ujarnya.

Bagi status vaksinasi lain seperti tidak menerima vaksin atas sebab perubatan dan tidak menerima sebarang vaksinasi, Menteri Kesihatan akan memperincikan prosedurnya untuk makluman umum esok.

Selain itu katanya, kementerian yang berkaitan juga akan mengeluarkan senarai SOP pembukaan sempadan negara ini secara lebih terperinci dalam waktu terdekat terutama berhubung prosedur di Pintu Masuk Antarabangsa (PMA) di darat dan laut.

The Dindings Ledger

The Dindings Ledger (TDL) adalah portal berita yang diwujudkan oleh beberapa anak muda yang berasal dari Seri Manjung, Perak. Bertujuan untuk memberikan maklumat kepada penduduk daerah Manjung mengenai perkembangan negara khususnya di daerah Manjung.