Sekolah rendah tanpa sesi penggiliran mulai 17 dan 18 April
Putrajaya – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah mengumumkan bahawa murid sekolah rendah dibenarkan hadir ke sekolah tanpa sesi penggiliran bermula 17 April untuk negeri kumpulan A dan 18 April untuk negeri kumpulan B.
Pegumuman itu dibuat oleh Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Mohd Radzi Jidin melalui sebuah video pendek yang bertajuk, #tanyaDRJ yang dikongsikan di laman Facebook beliau petang Jumaat semalam.
“Jadi anak-anak di sekolah rendah yang mana sebelum in bergilir, bermula pada 17 April di negeri kumpulan A dan 18 April di negeri kumpulan B, anak-anak boleh datang sekolah tanpa penggiliran,” katanya.
Negeri-negeri yang berada di dalam kumpulan A ialah Kedah, Kelantan, Terengganu dan Johor. Manakala negeri-negeri yang berada di dalam kumpulan B ialah Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Labuan dan Wilayah Persekutuan Putrajaya.
Radzi Jidin berkata, ketetapan itu dibuat selepas melihat kelancaran sesi persekolahan secara bersemuka bagi sekolah rendah yang bermula sejak 21 Mac yang lalu.
“Yang paling penting adalah pematuhan semua anak-anak dan guru-guru di sekolah ini kepada prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan, walaupun kita telah beralih ke fasa endemik.
“Jadi pematuhannya (SOP) amat penting, terutamanya semua murid hadir ke sekolah tanpa penggiliran,” tambahnya lagi.
Datuk Dr. Mohd Radzi Jidin turut memohon jasa baik ibu bapa untuk sentiasa mengingatkan anak-anak yang hadir ke sekolah untuk patuh kepada SOP yang telah ditetapkan.
Foto | Dr Radzi Jidin Facebook