dry land

Sabtu ini dijangka bermulanya Monsun Barat Daya

Berita Terkini

Seri Manjung – Sabtu ini bersamaan 14 Mei 2022 akan dijangka bermulanya Monsun Barat Daya yang akan berterusan sehingga pertengahan September 2022.

Ketua Pengarah Jabatan (MetMalaysia) Muhammad Helmi Abdullah berkata, semasa Monsun Barat Daya, lazimnya angin bertiup secara konsisten dari arah barat daya dengan kelembapan udara yang lebih rendah dan keadaan atmosfera yang lebih stabil.

“Sepanjang berlakunya Monsun Barat Daya ini, pembentukan awan hujan akan berkurangan dan akan menyebabkan kebanyakan tempat di seluruh negara akan mengalami bilangan hari tanpa hujan lebih banyak berbanding musim lain. Ini akan menyebabkan taburan hujan yang rendah.

“Walau bagaimanapun, hujan lebat berserta angin kencang dan petir berikutan fenomena garis badai (squall line) masih boleh berlaku di pantai barat Semenanjung dan barat Sabah pada awal pagi.

“Garis badai adalah garisan ribut petir yang terbentuk akibat penumpuan angin dan boleh berlarutan sehingga beberapa jam,” katanya lagi.

Dalam tempoh Monsun Barat Daya ini, sebarang pembakaran terbuka yang tidak terkawal terutamanya sepanjang bulan Ogos hingga Oktober boleh menyebabkan fenomena jerebu berlaku.

Sebarang pembakaran terbuka haruslah dielakkan bagi mengurangkan kesan jerebu dan pencemaran alam sekitar.

Muhammad Helmi Abdullah dalam waktu yang sama turut menyarankan orang ramai agar menggunakan air secara berhemah sepanjang tempoh Monsun Barat Daya ini.

Maklumat cuaca terkini boleh diperolehi melalui laman web Jabatan Meteorologi Malaysia (www.met.gov.my), aplikasi mobil myCuaca, media sosial dan Hotline Jabatan Meteorologi Malaysia 1-300-22-1638 bagi sebarang pertanyaan lanjut.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *