Bangkok – Pengurus Manchester United, Erik ten Hag menegaskan bahawa penyerangnya, Cristiano Ronaldo tidak akan dijual.
Walaupun bintang veteran Portugal itu tidak turut untuk sertai jelajah pramusim ke Thailand dan Australia, Erik ten Hag tetap mempunyai perancangan buat bintang sensasinya itu.
“Kami telah mempunyai perancangan untuk Cristiano Ronaldo pada musim ini dan saya tidak sabar untuk bekerjasama dengannya.
“Saya ada baca beberapa laporan mengenai Cristiano Ronaldo, tetapi dia bukan untuk dijual,” kata Erik ten Hag dalam satu sidang media sempena perlawanan pra-musim Manchester United bertemu Liverpool di Bangkok hari ni.

Bintang berusia 37 tahun itu tidak menyertai pramusim dengan beberapa desas-desus media Eropah mengatakan dia mahu meninggalkan United kerana kelabnya itu tidak layak ke Liga Juara-Juara Eropah bagi musim 2022/23.
Ronaldo juga terlepas beberapa sesi latihan awal bersama kelab gergasi Liga Perdana Inggeris itu di Carrington minggu lalu kerana masalah keluarga.
Musim 2022/2023 merupakan musim pertama Erik ten Hag di Old Trafford dan sudah memulakan misi sukar untuk membina semula kelab tersebut yang gagal memenangi sebarang kejuaraan domestik dan Eropah sejak 2017.
Setakat ini Manchester United telah membawa masuk seorang pemain pertahanan kiri dari Feyenoord, Tyrell Malacia dengan yuran perpindahan sekitar £13 juta dengan kontrak sehingga Jun 2026.
Foto | Cristiano Ronaldo | Erik Ten Hag