Risiko ‘Monkeypox’ tersebar di Malaysia rendah – KP Kesihatan

Seri Manjung – Risiko cacar monyet (Monkeypox) tersebar ke Malaysia adalah rendah melainkan terdapatnya sejarah bersentuhan dengan haiwan dijangkiti ataupun kontak secara langsung dengan pesakit wabak itu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kemungkinan penularan jangkitan itu dari manusia ke manusia adalah terhad.

Bagaimanapun, Kementerian Kesihatan Malaysia(KKM) tetap akan memantau perkembangan situasi virus itu melalui laporan yang dikeluarkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan melakukan pemantauan kes disyaki cacar monyet di kesemua pintu masuk antarabangsa di seluruh negara.

Noor Hisham Abdullah menasihatkan, pengembara yang mengembara ke negara yang terdapat wabak cacar monyet seperti Afrika Tengah dan Afrika Barat perlu mengambil langkah berjaga-jaga.

“Menjaga kebersihan diri termasuk mencuci tangan selepas ke tandas atau apabila tangan kotor.

“Perlu dielakkan juga bersentuhan secara langsung dengan luka yang ada pada orang atau haiwan yang dijangkiti, serta objek yang mungkin tercemar dengan cecair badan seperti pakaian kotor orang yang dijangkiti.

“Selain itu, elakkan juga bersentuhan atau memakan daging haiwan liar,” katanya.

Pengembara yang tiba di negara ini dari kawasan yang dilanda wabak cacar monyet dan menunjukkan simptom dalam tempoh tiga minggu selepas meninggalkan kawasan tersebut dinasihatkan supaya segera mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan berhampiran.

“Pengembara yang mengalami simptom perlu memaklumkan kepada doktor mengenai sejarah perjalanan mereka.

“Mereka juga perlu mengelakkan diri daripada menyentuh individu lain dan melakukan pengasingan diri sekurang-kurangnya 21 hari bagi memastikan ruam makulopapular kering sepenuhnya,” tambahnya.

Noor Hisham Abdullah berkata, cacar monyet ini disebabkan oleh jangkitan virus orthopoxviruses. Virus ini ditularkan kepada manusia melalui gigitan atau sentuhan langsung dengan darah binatang atau cecair badan dan luka haiwan yang dijangkiti.

KKM menyeru orang ramai segera mendapatkan rawatan sekiranya mengalami gejala jangkitan cacar monyet.

Tindakan pengasingan dapat dilakukan segera serta pengesanan dan kuarantin kontak dilaksanakan bagi mengekang penularan cacar monyet.

Penyakit cacar monyet ini juga adalah mirip penyakit cacar (smallpox) yang telah dibasmikan pada tahun 1980 berikutan program imunisasi cacar yang berjaya di seluruh dunia.

Sehingga kini, terdapat lebih 100 kes cacar monyet telah dikesan membabitkan beberapa negara di Benua Eropah, Amerika Syarikat dan Australia.

Foto | Twitter

The Dindings Ledger

The Dindings Ledger (TDL) adalah portal berita yang diwujudkan oleh beberapa anak muda yang berasal dari Seri Manjung, Perak. Bertujuan untuk memberikan maklumat kepada penduduk daerah Manjung mengenai perkembangan negara khususnya di daerah Manjung.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *