Ramadhan – Elakkan pembaziran makanan
Georgetown – Beberapa hari lagi umat Islam di Malaysia akan menyambut bulan Ramadhan. Justeru itu, Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menasihatkan umat Islam di negara ini agar berbuka puasa di rumah berbanding berbuka di hotel bagi mengurangkan pembaziran makanan.
Itulah nasihat yang diperkatakan oleh Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), Mohideen Abdul Kader ketika majlis pelancaran Kempen Hentikan Pembaziran Pada Bulan Ramadhan yang disempurnakan oleh Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr. Wan Salim Wan Mohd Noor.
“Kempen ini dimulakan oleh mantan Presiden CAP, Allahyarham S.M.Mohammed Idris yang terkejut dengan sejumlah besar pembaziran makanan dan perbelanjaan mewah golongan elit Islam pada bulan mulia ini, sedangkan berjuta-juta orang tidak mempunyai makanan, tempat tinggal, pendidikan dan penjagaan kesihatan yang mencukupi.
“Bulan Ramadhan sepatutnya menjadi bulan beribadat, tetapi bagi sesetengah muslim, ia telah menjadi bulan kenduri dan membazir perbelanjaan.
“Islam menyuruh umatnya menjauhi sifat rakus, membazir dan boros,” kata Mohideen Abdul Kader.
Tambahnya lagi, berbuka puasa secara tradisinya dibuat di rumah bersama ahli keluarga atau dibuat di masjid dalam suasana harmoni, tetapi ianya telah bertukar menjadi “jamuan dengan 100 hidangan di hotel dan restoran”.
Pelbagai jenis dan kuantiti makanan yang banyak sewaktu berbuka puasa dan bersahur menyebabkan berlakunya pembaziran. Makanan yang tidak habis akan dibuang oleh pihak hotel, restoran dan keluarga ke tempat pembuangan sampah.
Pada tahun 2016, Perbadanan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) telah melaporkan bahawa sebanyak 200,000 tan makanan telah dibuang setiap kali bulan Ramadhan. Kuantiti tersebut boleh memberi makan kepada 180 juta orang.
Pembaziran makanan adalah berdosa kerana makanan yang telah dibazirkan itu boleh diagihkan untuk mereka yang memerlukan. Selain itu, ia juga menghabiskan sumber dan menyumbang kepada kemerosotan alam sekitar melalui pencemaran laut dan sungai serta pelepasan karbon dioksida, yang menyumbang terhadap pemanasan global.