Barcelona – Penyandang juara MotoGP, Fabio Quartararo meraih kemenangan penting di litar Catalunya sebentar tadi yang menyaksikan pelbagai drama dalam persaingan merebut kejuaraan.
Pelumba Ducati, Francesco Bagnaia dan Suzuki, Alex Rins terkeluar sejurus perlumbaan bermula setelah mereka dirempuh oleh Takaaki Nakagami yang hilang kawalan terhadap jentera Hondanya. Manakala Enea Bastianini terbabas pada pusingan kelapan.
Perkara yang pelik pula berlaku ke atas pelumba Aprillia Racing, Aleix Espargaro. Dia memperlahankan jenteranya satu pusingan awal kerana menyangka perlumbaan telah tamat. Akhirnya dia terpaksa berpuas hati ditempat kelima dalam perlumbaan tersebut.
Bagi penyandang juara, Fabio Quartararo, dia memulakan perlumbaan dengan begitu baik sekali. Dia bukan sahaja dapat memintas Francesco Bagnaia dan Aleix Espargaro pada selekoh pertama, tetapi dia dapat mengelak insiden yang menyebabkan pencabar utama kejohanan, Francesco Bagnaia terkeluar awal.
Takaaki Nakagami yang bermula di petak ke-12 berjaya menempatkan diri di kelompok hadapan sebelum tayar belakangnya dilanggar oleh Pol Espargaro dan menyebabkan kepalanya terhantuk ke tayar belakang jentera Ducati, Francesco Bagnaia. Nakagami kemudiannya dibawa ke pusat perubatan untuk pemeriksaan lanjut.
Dengan kemenangan GP Catalunya ini, Fabio Quartararo mendahului senarai kedudukan kejuaraan dengan 147 mata, 22 mata mengatasi pencabar terdekatnya, Aleix Espargaro dengan 125 mata.
Dua pelumba Prima Pramac Racing, Jorge Martin dan Johan Zarco masing-masing menamatkan perlumbaan di tempat kedua dan ketiga. Joan Mir yang menunggang Suzuki berada di tempat keempat.
Foto | Monster Energy Yamaha MotoGP