PDRM

Polis temui 33 paket syabu seberat 62.5 gram

Setempat Terkini

Manjung – Polis menemui 33 paket syabu dengan anggaran berat 62.5 gram dalam satu pemeriksaan sebuah kereta jenis Volvo di Ayer Tawar sekitar jam 4 petang semalam.

Menurut Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid, kereta tersebut pada awalnya cuba ditahan oleh anggota polis dari balai Ayer Tawar yang sedang melakukan rondaan keselamatan setelah berada di dalam keadaan yang mencurigakan.

“Bagaimanapun, pemandu kereta berkenaan cuba merempuh dan melanggar kenderaan polis yang menghalangnya.

“Insiden tersebut telah menyebabkan polis terpaksa melepaskan 6 das tembakan ke arah tayar kenderaan tersebut bagi tujuan untuk menghentikan pemandu tersebut dari melarikan diri.

“Pemandu kereta berkenaan sempat melarikan diri ke kawasan taman berdekatan dan berjaya ditangkap oleh anggota polis,” katanya.

Hasil pemeriksaan yang dilakukan terhadap pemandu lelaki berusia 61 tahun itu, pihak polis telah menemui sebanyak 33 paket dadah jenis syabu yang dianggarkan seberat 62.5 gram.

Pemandu kereta berkenaan dipercayai sebagai suspek pengedar dadah telah ditahan bersama-sama seorang wanita, 38, merupakan isteri dan seorang kanak-kanak lelaki, 2, yang merupakan anak suspek.

Hasil semakan yang dilakukan mendapati, suspek mempunyai 12 kesalahan jenayah lampau dan kes disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan atas kesalahan cubaan membunuh dan Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya.

Mior Faridalathrash turut menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kejadian ini bagi mengelakkan kekeliruan dan kegusaran masyarakat serta mengganggu siasatan pihak polis.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) Perak akan terus memperhebatkan operasi pembanterasan aktiviti penagihan, penyeludupan dan pengedaran dadah di negara ini khasnya di negeri Perak.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *