Ipoh – Kerajaan Negeri Perak melalui Pejabat Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Komunikasi dan Multimedia (BSKM) bersama-sama Digital Perak Corporation Holdings (Digital Perak) sekali lagi menganjurkan ‘Perak Food Hunter’ 2.0.
‘Perak Food Hunter’ merupakan program tahunan pertandingan video pendek bertemakan makanan-makanan unik di negeri Perak.
Ini merupakan antara usaha Kerajaan Negeri membantu merancakkan ekonomi sektor makanan tempatan dan secara tidak langsung membantu menarik para penggemar makanan serta pelancong luar ke negeri Perak melalui pembangunan kandungan multimedia sebagai medium pemasaran digital.
Hadiah bernilai RM7,000 akan menanti pemenang pertandingan Perak Food Hunter 2.0 yang bermula pada 20 Ogos 2022 (semalam) sehingga 30 September 2022 bulan hadapan.
Pertandingan ini terbuka kepada semua orang tanpa mengira umur, bangsa dan sebagainya. Malah, ianya tidak terhad kepada pencipta kandungan yang berdasarkan ulasan makanan sahaja.
Antara syaratnya yang mereka perlu ikuti adalah, hanya membuat video pendek yang tidak melebihi 3 minit yang bertemakan makanan dan di negeri Perak. Tidak kira di mana, gerai, restoran atau sebagainya.
Majlis pelancaran bagi pertandingan telah disempurnakan oleh Yang DiPertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), YABhg. Tan Sri Mohd Annuar bin Zaini semalam di M. Roof Hotel & Residences, sempena program Sesi Percambahan Minda Pemimpin Belia Negeri Perak Bersama Yang DiPertua MAIPk.
‘Perak Food Hunter 2.0’ menawarkan hadiah-hadiah wang tunai, trofi dan sijil daripada pihak-pihak penaja.
Tarikh tutup penyertaan pada 30 September 2022 pada jam 11.59 malam.
Klik pautan di bawah untuk keterangan lanjut.
Foto | Digital Perak