esszone

Perintah berkurung di ESSZONE dilanjutkan

Berita Terkini

Lahad Datu – Perlaksanaan perintah berkurung di Kawasan perairan 7 daerah dalam Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE) yang berakhir esok akan dilanjutkan sehingga 10 Mei ini.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Idris Abdullah berkata, perintah berkurung itu melibatkan perairan Semporna, Lahad Datu, Kinabatangan, Kunak, Sandakan, Beluran dan Tawau.

“Perintah ini diteruskan bagi memastikan kawasan perairan berkenaan tidak diceroboh pengganas yang mengancam keselamatan penyelidik antarabangsa yang menjalankan penyelidikan dan pelancong asing yang melawat pulau peranginan.

“Orang ramai yang tinggal di kawasan yang berkenaan dilarang menghampiri atau berada di kawasan diisytihar antara 6 petang hingga 6 pagi.

“Maklumat mendedahkan kumpulan yang menjalankan kegiatan Kidnapping for Ransom (KFR) dan kumpulan Abu Sayyaf masih cuba menceroboh ke kawasan-kawasan ini untuk melakukan penculikan dan lain-lain jenayah rentas sempadan,” kata Idris Abdullah lagi.

Perintah berkurung tersebut dilaksanakan bagi menjaga keselamatan dan kesejahteraan penduduk di timur perairan Sabah dan rakyat Sabah yang berada di kawasan daratan ESSZONE.

Dengan perlaksanaan perintah berkurung,ia akan memudahkan penguatkuasaan dan pemantauan terhadap pergerakan bot dan menimbulkan rasa selamat serta yakin kepada pengusaha chalet dan nelayan dengan kehadiran pasukan keselamatan.

Selain itu juga, Idris Abdullah turut memberi kuasa kepada semua Ketua Polis Daerah di ESSZONE bagi mengeluarkan permit kepada pemohon yang layak bagi tujuan aktiviti perikanan atau ada keperluan mendesak untuk melalui kawasan perintah berkurung itu,” jelasnya.