Saarani Mohamad

Perak tidak bekal air untuk Pulau Pinang

Berita Setempat Terkini

Ipoh – Empat agensi penting telah membuat kajian saintifik, ulasan dan laporan dalam menentukan permintaan Pulau Pinang untuk membeli dan membekalkan air ke negeri tersebut. Agensi-agensi yang terlibat adalah Lembaga Air Perak (LAP), Tenaga Nasional Berhad (TNB), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Unit Perancang Ekonomi Negeri Perak (UPEN).

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, laporan daripada empat agensi tersebut membuktikan bahawa air Sungai Perak hanya cukup untuk kegunaan dalam negeri Perak sahaja dan tidak dapat dibekalkan kepada negeri-negeri lain.

“Memang ada kajian yang dibuat oleh Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) dan kami telah membaca kajian berkenaan.

“Kita (Perak) juga telah menilai berdasarkan pengalaman yang pernah dilalui oleh penduduk Pulau Pinang apabila air tidak mencukupi untuk aktiviti seharian menyebabkan Perak membuat persiapan awal untuk meyimpan air bagi keperluan penduduk negeri ini.

“Walaupun kita bersimpati dengan masalah yang dihadapi oleh Pulau Pinang, namun Perak mempunyai beberapa sebab yang kukuh untuk tidak memenuhi permintaan tersebut,” kata Saarani Mohamad.

Beliau menyatakan demikian ketika menjawab soalan lisan dari Dr. Abdul Aziz Bari (PH-Tebing Tinggi) dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak ke-14, di Bangunan Perak Darul Ridzuan, hari ini.

Menteri Besar berkata, berdasarkan maklumat yang diperolehi daripada LAP, sebanyak 50 peratus sumber bekalan air terawat bagi penduduk Perak adalah dari Sungai Perak dan anak-anak Sungai Perak yang dirawat oleh Loji Rawatan Air (LRA) yang terletak di sepanjang Sungai perak.

LAP turut merancang untuk menaik taraf kapasiti memproses air mentah di beberapa LRA dan membangunkan LRA baru di Kampung Gajah untuk membekalkan air ke kawasan pembangunan jajaran Lebuh Raya Pantai Timur (WCE), Seberang Perak dan untuk kegunaan Bagan Datuk.

Sungai Perak juga bukan hanya digunakan sebagai sumber utama bekalan air, tetapi ianya juga adalah sumber kepada penjanaan tenaga hidroelektrik, pertanian, perindustrian dan perikanan yang semakin berkembang di negeri ini.

Terdapat empat empangan TNB yang menjana elektrik untuk negara iaitu Empangan Temengor, Empangan Kenering, Empangan Bersia dan Empangan Chenderoh. Keempat-empat empangan ini memerlukan isipadu tertentu untuk terus menjana tenaga elektrik dan jika berlaku pengurangan isipadu pastinya akan menjejaskan penjanaan tenaga elektrik.

Saarani turut menambah, jelapang padi negeri Perak yang terletak di daerah Kerian di mana sumber air utamanya adalah dari Empangan Bukit Merah kerap kali berlaku penyusutan yang ketara terutama pada musim kemarau. Oleh itu, JPS telah mengesyorkan supaya kerajaan negeri memberi keutamaan untuk menyelesaikan masalah kekurangan bekalan air bagi tujuan pengairan sawah padi di kawasan itu.