IPOH – Perak merekodkan 42 kes buli di sekolah bermula Januari sehingga Julai 2022. Jumlah kes buli meningkat 40 kes berbanding hanya dua kes sepanjang tahun lepas.
Perkara tersebut dinyatakan oleh Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri yang ditemui media pada program #katakan tidak kepada buli di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Anderson pada Sabtu (semalam).
Menurut beliau, peningkatan jumlah kes buli yang adalah disebabkan sekolah-sekolah ditutup sewaktu negara menghadapi pandemik Covid-19 tahun lepas.
“Kes buli ini masih lagi terkawal.
“Setakat ini, buli di tidak melibatkan kematian, hanya kecederaan sahaja,” tambah Mohd Yusri.
Pihak polis bersama Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) berusaha membentuk persekitaran sekolah yang sejahtera dan selamat bagi pelajar-pelajar.
Program #katakan tidak kepada buli ini dilaksanakan secara serentak di 12 daerah dengan melibatkan 30 buah sekolah terutamanya sekolah berasrama dan ianya merupakan satu inisiatif untuk membendung kes buli dari terus meningkat.
“Program ini bertujuan untuk meningkatkan tahap kesedaran pelajar akibat terlibat dalam kesalahan jenayah termasuk buli mengikut peruntukan undang-undang serta peraturan sekolah.
“Kerjasama dari semua pihak termasuk ibu bapa penting dalam membendung kes-kes sebegini kerana ia melibatkan masa depan pelajar itu sendiri,” tambahnya lagi.