Seri Manjung – Perak FC telah mengumumkan perlantikan Lim Teong Kim sebagai ketua jurulatih kelab tersebut pada musim 2023 bagi tempoh dua tahun dengan pilihan memperbaharui kontrak selama setahun.
Pengerusi Perak FC, Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi berkata: “Sudah tiba masanya untuk skuad Perak FC menyusun semula pasukan selepas kekalahan berterusan dalam tiga perlawanan terakhir Liga Perdana.
“Perak FC terpaksa menjalani tempoh peralihan dan kami kini telah menyelesaikan semua masalah yang timbul.
“Tiada lagi alasan untuk musim depan kerana kami mempunyai masa yang cukup dan jurulatih terkemuka telah ditambah dalam senarai kami.
“Matlamat utama kami ialah menstabilkan kelab untuk mengekalkan status kompetitif dengan pengambilan skuad baharu.
“Pandangan Lim Teong Kim dalam pengurusan akar umbi dan pengendalian pemain muda sangat penting kepada Perak FC dalam proses membina semula pasukan yang mampan dan boleh bersaing untuk merebut kejuaraan,” tambah Abdul Azim.
Peranan baru Yusri Che Lah
Dalam masa yang sama, Lembaga Pengarah Perak FC mengucapkan terima kasih kepada ketua jurulatih semasa, Yusri Che Lah di atas usaha dan kerja kerasnya sepanjang berkhidmat dengan skuad utama Perak FC.
Yusri Che Lah akan diberi peranan baru untuk membangunkan skuad B-23 Perak FC pada musim depan sejurus Lim Teong Kim mengambil alih jawatan sebagai ketua jurulatih Perak FC.
Tugas terakhir Yusri Che Lah bersama skuad utama Perak FC adalah pada Sabtu ini, 17 September 2022 menentang Kuching City FC di Stadium Perak, pada jam 9 malam.
Foto | Perak Football Club