Perak FC gugur 3 pemain
Seri Manjung – Selepas larangan pendaftaran pemain baharu ditarik balik oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) pada 16 Jun lalu, Perak FC kini terpaksa menggugurkan tiga pemain.
Keputusan itu terpaksa dibuat bagi membolehkan Perak FC mendaftar tiga pemain import yang baru untuk meneruskan misi kekal dalam Liga Perdana bagi musim ini.
Selain itu, Perak FC turut mengintai peluang untuk melayakkan diri ke Piala Malaysia dengan perlu sekurang-kurangnya berada di tangga kelima Liga Perdana musim ini.
Tiga pemain import yang akan memperkuatkan skuad Perak FC adalah Stipe Plazibat, Luciano Guaycochea dan Sunday Kolawole Afolabi.
Stipe Plazibat telah secara rasmi menjadi milik Perak FC dan telah diperkenalkan di hadapan penyokong di Stadium Perak pada Ahad lalu.
Manakala Luciano Guaycochea dan Sunday Kolawole Afolabi dijangka akan tiba hari ini.