Perak FC bayar gaji pemain 7 Mac ini

Seri Manjung – Ketua Pegawai Eksekutif Perak FC, Muhammad Yunus Zakariah memberi jaminan bahawa pihak pengurusan akan membayar dua bulan gaji selewat-lewatnya pada Isnin ini, 7 Mac 2022.

Ini kerana terdapat beberapa laporan di media sosial yang mengatakan bahawa pihak pengurusan Perak FC tidak membayar tunggakan gaji pemain.

“Ia susulan laporan berkenaan gaji pemain tidak dibayar diperkatakan di media sosial malah kelab bercadang untuk menyelesaikan semua tunggakan sekurang-kurangnya bayaran bulan pertama,” katanya lagi.

Gaji untuk bekas pemain import pula akan dibuat sebelum berakhirnya bulan April seperti yang telah dijanjikan sebelum ini.

Dalam masa yang sama, penaja barangan sukan dari Itali, Lotto kekal menjadi penaja jersi rasmi Perak FC pada musim 2022.

Perak FC akan membuka saingan Liga Premier musim 2022 bertemu Kelantan United di Stadium Perak malam ini, tetapi perlawanan tersebut terpaksa ditunda akibat penularan virus Covid-19 dalam kalangan pegawai dan pemain pasukan Perak FC.

Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) akan memaklumkan tarikh baharu perlawanan dalam waktu yang terdekat.

The Dindings Ledger

The Dindings Ledger (TDL) adalah portal berita yang diwujudkan oleh beberapa anak muda yang berasal dari Seri Manjung, Perak. Bertujuan untuk memberikan maklumat kepada penduduk daerah Manjung mengenai perkembangan negara khususnya di daerah Manjung.