Perak catat peningkatan jangkitan HFMD
Seri Manjung – Sehingga 30 April 2022 lalu, Perak mencatatkan peningkatan kes jangkitan Penyakit Tangan Kaki dan Mulut (HFMD) sebanyak 10 kali ganda.
Sebanyak 1,636 kes HFMD telah dilaporkan sehingga minggu epid 17/2022 di negeri Perak untuk tempoh yang sama pada tahun lalu.
Kes HFMD telah meningkat sebanyak 10.6 kali ganda berbanding di mana tahun lepas hanya mencatatkan 140 kes sahaja.
Exco Kesihatan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Perak, Mohd Akmal Kamarudin berkata, kes HFMD yang tertinggi direkodkan dalam kalangan kanak-kanak berumur 6 tahun ke bawah dengan jumlah kes sebanyak 1,557 kes (95.1%).

“Bagi kanak-kanak berumur 7 hingga 12 tahun, sebanyak 70 kes (4.3%) direkodkan. Manakala 9 kes (0.6%) direkodkan di kalangan umur 12 tahun ke atas.
“Wabak HFMD akan dilaporkan apabila terdapat dua (2) atau lebih kes dikesan dalam premis yang sama dalam tempoh 10 hari iaitu dua (2) tempoh inkubasi jangkitan ini.
Sehingga kini, sebanyak 100 wabak dilaporkan di Perak dengan tiga (3) daerah mencatatkan kes jangkitan HFMD tertinggi iaitu Kinta 28 wabak, diikuti Larut, Matang dan Selama (LMS) 18 wabak dan Hulu Perak 8 wabak.
“Majoriti lokasi penularan wabak HFMD berlaku di tadika, taska dan pra-sekolah iaitu 69 wabak. Diikuti oleh rumah persendirian 28 wabak, pusat jagaan kanak-kanak 2 wabak dan sekolah rendah 1 wabak,” katanya.
Bagi Ibu bapa dan penjaga kepada kanak-kanak yang menunjukkan tanda-tanda atau gejala HFMD dinasihatkan agar tidak menghantar anak tersebut ke pusat jagaan kanak-kanak, taska, tadika atau sekolah bagi mengelakkan daripada menjangkiti kawan-kawan.
Pada masa yang sama, ibu bapa dan penjaga dinasihatkan agar tidak membawa anak-anak yang bergejala HFMD ini ke tempat awam yang ramai orang seperti kolam renang, pasar, pusat membeli-belah, stesen bas dan lain-lain.
Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perak turut menasihati orang ramai, terutamanya yang mempunyai anak kecil agar mengambil langkah berjaga-jaga untuk mengurangkan risiko mereka dijangkiti HFMD. Kanak-kanak yang dijangkiti HFMD perlu dibawa segera ke klinik untuk rawatan lanjut.
Antara langkah-langkah yang perlu diikuti untuk mengurangkan risiko jangkitan HFMD ialah;
- Basuh tangan dengan sabun dan air bersih selepas menggunakan tandas, sebelum menyediakan makanan, selepas menukar lampin dan mencuci najis kanak-kanak.
- Tutup mulut dan hidung semasa batuk dan bersin.
- Jangan berkongsi barangan peribadi seperti berus gigi, sapu tangan, tuala, selimut, cawan, garpu, dan sudu.
- Sentiasa mengekalkan kebersihan di rumah, pusat penjagaan kanak-kanak, tadika dan sekolah serta persekitarannya.
- Kerap mencuci semua alat mainan dan permukaan meja, kerusi, dan lantai sekurang-kurangnya dua kali sehari.
Foto | www.cloudninecare.com