Perak FC

Penyokong cetus keganasan dan menghasut, tiada tempat di stadium! 

Bola Sepak Sukan Terkini

Seri Manjung – “Perak FC ingin menjelaskan bahawa kami tidak akan bertolak ansur dengan penyokong yang mencetuskan aktiviti ganas dan menghasut!”. 

Itulah amaran yang diberikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Perak FC, Bobie Farid Shamsuddin dalam satu kenyataan media yang telah dikongsikan di Facebook Perak FC lewat petang tadi. 

Kenyataan tersebut dibuat berikutan berlakunya insiden pergaduhan diantara penyokong Perak FC dan Kelantan FC pada aksi Liga Perdana yang berlangsung di Stadium Sultan Muhammad IV pada Rabu lalu. 

“Bagi kami, mereka (yang mencetuskan aktiviti ganas dan menghasut) tidak mempunyai tempat di stadium!” tambah Bobie Farid. 

Kesebelasan utama Perak FC ketika bertemu Kelantan FC pada Rabu lalu di Stadium Sultan Muhammad IV.

“Di dalam kemeriahan pertemuan antara Perak FC dan Kelantan FC tempoh hari, malangnya terdapat beberapa insiden keganasan yang melibatkan penyokong serta berlaku kerosakan ke atas kenderaan penyokong Perak FC dan beberapa orang penyokong yang cedera. 

Bobie Farid turut memberikan jaminan keselamatan kepada kepada penyokong Perak FC mahupun penyokong pihak lawan yang hadir ke Ipoh. 

“Perak FC juga akan memberi jaminan kepada semua penyokong, pasukan bola sepak serta Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bahawa kami akan memastikan tahap keselamatan akan sentiasa berada pada tahap optimum pada perlawanan kami di Ipoh untuk meminimumkan keganasan. 

“Dalam memastikan jangka hayat, kelestarian dan juga peningkatan mutu Liga Bola Sepak Malaysia, ia menjadi kewajipan kepada setiap kelab untuk menyediakan persekitaran yang selamat untuk penyokong yang menghadiri perlawanan,” katanya. 

Dalam masa yang sama, Perak FC akan mengambil tindakan paling tegas sekiranya terdapat aduan dan laporan rasmi mengenai tingkah laku penyokongnya yang bertindak ganas.

Perak FC akan bertemu JDT ii di Stadium Majlis Bandaraya Pasir Gudang pada 13 Ogos 2022 (esok), bermula jam 8.15 malam bagi saingan Liga Perdana dan akan meneruskan misi untuk kekal di Liga Perdana musim ini.

Foto: Perak FC

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *