Bangi – Perdana Menteri, Datuk Sri Ismail Sabri Yaakob telah meminta Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) melalui Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia) menjalankan penyelidikan bagi menghasilkan benih padi yang berdaya tahan tinggi jika ditenggelami air, khususnya apabila berlaku banjir.
Menteri MOSTI, Datuk Sri Dr. Adham Baba menyambut baik permintaan Perdana Menteri ke arah komitmen kerajaan bagi membantu pesawah agar tidak rugi jika tanaman mereka terjejas berikutan cuaca yang tidak menentu.
“Agensi Nuklear Malaysia telah pun memulakan penyelidikan bagi menghasilkan jenis benih padi yang ditambah baik ini. Jenis baru benih padi ini diberi nama IS22.
“Agensi Nuklear Malaysia sentiasa proaktif dalam mencari pelbagai kaedah penambahbaikan menggunakan teknologi nuklear dan sentiasa bertindak berdasarkan isu perubahan cuaca global,” kata Dr. Adham Baba.
Penyelidikan benih padi IS22 ini adalah hasil kerjasama dengan beberapa universiti tempatan antaranya Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Pertanian Malaysia dan universiti Teknologi MARA, serta bantuan teknikal daripada Badan Tenaga Atom Antarabangsa dan Agensi Tenaga Atom jepun di bawah platform Forum Nuvlear Cooperation in Asia.
Seorang pegawai penyelidik Agensi Nuklear Malaysia ketika ini sedang membuat kajian PhD untuk mendapatkan padi yang rintang kepada banjir (submerge) di mana padi IS21 dikahwinkan dengan kaedah kacukan balik (advanced backcross method) dengan jenis yang tahan banjir dan matang awal.
Agensi Nuklear Malaysia juga sedang menjalankan penyelidikan padi tahan kemarau yang juga dibuat tahun ini menggunakan padi tradisional wangi hitam diaruh mutasi menggunakan alur ion (ion beam) khidmat sinaran yang diperolehi daripada Quantum and Radiological Science and Technology (QST).
Kajian sebegini mungkin mengambil masa beberapa tahun dan memerlukan dana penyelidikan sebelum satu jenis yang berpotensi dihasilkan untuk kegunaan petani dan pesawah.