Ipoh – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) fokus dalam memperkasakan pengguna agar menjadi lebih cakna terutama dalam aspek perlindungan bagi urusan seharian yang melibatkan penggunaan e-dompet serta pembelian atas talian.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Integrasi Nasional dan Masyarakat Sivil, Datuk Abdul Yunus bin Jamahri berkata, pengguna perlu melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan dan kepenggunaan digital khususnya dari aspek keselamatan dan perlindungan dari ancaman penipuan dan penggodam.
Dalam masa yang sama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Perak akan meningkatkan penguatkuasaan dan pemantauan harga barang sepanjang bulan Ramadan yang akan tiba tidak lama lagi.
Abdul Yunus Jamahri turut menyatakan bahawa, lebih 200 pegawai penguatkuasa dan pemantauan harga akan digerakkan ke lokasi tumpuan ramai terutamanya bazar Ramadan sebagai langkah untuk mengawal kenaikan harga barang.
“Kita menasihatkan peniaga agar mereka tidak mengambil kesempatan dengan menaikkan harga dan di pihak pengguna pula, kita minta mereka sentiasa berwaspada dan memantau dengan memastikan barang-barang dijual dengan harga berpatutan,” ujarnya lagi.