Yaounde – Sadio Mane menjaringkan sepakan penalti kemenangan untuk Senegal menjulang Piala Negara-Negara Afrika (AFCON) buat kali pertama semenjak kejohanan ini bermula 60 tahun yang lalu. Senegal menewaskan Mesir 4-2 menerusi sepakan penalti selepas perlawanan berakhir tanpa sebarang jaringan gol dalam 120 minit perlawanan.
Mane bagaimanapun terlepas peluang untuk meletakkan Senegal di hadapan pada minit ke-7 apabila sepakan penaltinya mudah diselamatkan oleh penjaga gol Mesir, Mohamed Abou Gabal. Penjaga gol Mesir yang mendapat jolokan Gabaski ini juga menafikan percubaan dari pemain Senegal, Bamba Dieng pada masa tambahan.

Kami adalah juara Afrika
Ketua jurulatih Senegal, Aliou Cisse
“Kami adalah juara Afrika”, itulah kata-kata yang diungkapkan oleh ketua jurulatih Senegal, Aliou Cisse selepas tamatnya perlawanan tersebut. “Terlalu lama, rumit dan ada waktu yang sukar, tetapi kami tidak pernah mengalah”.
Untuk rekod, Senegal mengalami dua kekalahan dalam perlawanan akhir Piala Negara-Negara Afrika iaitu pada tahun 2002 dan 2019.
Selepas 30 minit masa tambahan tanpa jaringan, perlawanan terpaksa ditentukan dengan penentuan sepakan penalti. Pemain pertahanan Senegal, Kalidou Koulibaly dan pemain tengah Mesir, Zizo masing-masing tidak melakukan kesilapan untuk menyempurnakan sepakan penalti pertama. Kesilapan Abdelmonem hampir merugikan Mesir. Sepakan pemain Al Ahly berusia 23 tahun itu terkena tiang. Tetapi Abou Gabal sekali lagi cemerlang menyelamatkan pasukannya dengan menafikan percubaan Bouna Sarr pada sepakan ketiga.
Selepas itu Marwan Hamdy meletakkan kedua-dua pasukan berada pada kedudukan 2-2 selepas Abdou Diallo menyempurnakan sepakan penalti kedua Senegal. Pada sepakan keempat, pemenang anugerah Penjaga Gol Terbaik FIFA 2021, Eduoard Mendy menyelamatkan sepakan penalti Mohanad Lasheen dan akhirnya menyaksikan Sadio Mane menyempurnakan gol kemenangan Senegal dalam penentuan sepakan penalti.