Pemandu treler ditahan untuk siasatan
Ipoh – Pemandu treler yang terlibat dalam kemalangan maut yang mengorbankan empat beranak sekitar jam 3 petang semalam, Rabu, telah ditahan untuk siasatan. Kemalangan tersebut berlaku di kilometer 277.1 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan.
Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, pemandu lelaki berusia 34 tahun itu telah ditahan dan akan direman pada 14/7/2022 (hari ini) bagi membantu siasatan lanjut.

“Kes akan disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 atas kesalahan menyebabkan kematian kerana memandu dengan melulu atau membahayakan.
Siasatan pihak polis di tempat kejadian mendapati, treler bermuatan kosong yang dipandu lelaki tersebut dari arah Taiping menghala ke Bukit Beruntung telah merempuh sebuah kereta yang dinaiki oleh 4 orang penumpang dari belakang.
“Akibat dari rempuhan itu, treler dan kereta yang dirempuh itu telah menggelongsor ke hadapan, lalu melanggar 5 buah kenderaan lain.
“Seorang pemandu dan 3 orang penumpang di dalam kereta tersebut mengalami cedera parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” kata Mior Faridalathrash.

Mangsa-mangsa di dalam kereta merupakan seorang lelaki berusia 60 tahun (pemandu), manakala penumpang hadapan merupakan isterinya, 59 tahun dan dua anak perempuan mereka yang berumur 27 dan 28 tahun masing-masing duduk di bahagian penumpang belakang.
“5 buah kenderaan lain yang terlibat dalam kemalangan ini turut mengalami kerosakan teruk, namun kesemua pemandu dan penumpang tidak mengalami sebarang kecederaan,” tambahnya.
Menurutnya lagi, ujian air kencing yang dijalankan terhadap pemandu treler berkenaan mendapati, dia tidak memandu di bawah pengaruh dadah. Tetapi, pemandu treler tersebut mempunyai rekod kesalahan trafik terkumpul sebanyak 13 keping saman dari tahun 2008 sehingga 2021 dan 3 daripadanya terlibat dalam kemalangan jalan raya pada tahun 2012, 2020 dan 2021.
Polis Diraja Malaysia (PDRM) Perak meminta kerjasama dari orang awam yang mempunyai maklumat dan telah menyaksikan kemalangan tersebut supaya menghubungi Pegawai Penyiasat kes, Inspektor, Mohd Tarmini Che Hassan, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, IPD Ipoh ditalian 013-5949441 untuk membantu siasatan kes ini.
Kesemua jenazah telah selesai menjalani bedah siasat di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh telah dibawa ke Permatang Pasir, Pulau Pinang lewat malam tadi untuk urusan pengebumian.
Foto | Perak Kini