Pemakaian pelitup muka adalah pilihan

Kuala Lumpur – Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin mengumumkan bahawa pemakaian pelitup muka di kawasan dalam bangunan atau premis-premis tertutup adalah atas pilihan (optional).

Keputusan itu telah dibuat berdasarkan penilaian situasi serta keperluan semasa COVID-19. 

Khairy berkata, pemilik premis boleh menentukan sama ada pengunjung wajib memakai pelitup muka atau boleh memilih untuk memakai pelitup muka. 

“Sekarang kita serah kepada pemilik premis. 

“Kalau pemilik itu membuat keputusan untuk masuk ke premis mereka dengan memakai pelitup muka, maka mestilah ikut kehendak pemilik premis tersebut. 

“Ada pemilik premis yang merasakan bahawa, premis mereka mungkin terdedah dan berisiko tinggi. Sebagai contoh, kedai gunting rambut,” tambah Khairy lagi. 

Khairy Jamaluddin turut menggalakkan orang ramai untuk terus memakai pelitup muka kerana ia mampu mengurangkan risiko jangkitan COVID-19. 

Namun begitu, terdapat beberapa situasi yang mewajibkan pemakaian pelitup muka. 

“Semestinya mereka yang positif COVID-19 dan bergejala adalah diwajibkan untuk memakai pelitup muka! 

“Apabila menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam seperti bas, kereta api, teksi termasuk perkhidmatan e-hailing, kapal terbang serta bas pekerja dan sekolah,” ujarnya.  

Pemakaian pelitup muka juga masih wajib dipakai jika berada di fasiliti kesihatan atau penjagaan seperti hospital, klinik, rumah penjagaan, pusat hemodialisis atau setara dengannya. 

Khairy Jamaluddin mengumumkan perkara tersebut pada sidang media selepas merasmikan Persidangan Persatuan Ubat Generik dan Biosimilar Antarabangsa (IGBA) – Organisasi bagi Industri Farmaseutikal Malaysia (MOPI) 2022 di sini, petang tadi. 

The Dindings Ledger

The Dindings Ledger (TDL) adalah portal berita yang diwujudkan oleh beberapa anak muda yang berasal dari Seri Manjung, Perak. Bertujuan untuk memberikan maklumat kepada penduduk daerah Manjung mengenai perkembangan negara khususnya di daerah Manjung.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *