Pelitup muka tidak wajib, tiada penjarakan fizikal
Seri Manjung – Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin mengumumkan bahawa pemakaian pelitup muka di luar bangunan dan kawasan terbuka adalah atas pilihan (optional) tetapi amat digalakkan kerana pelitup muka mampu mengurangkan penularan jangkitan.
Ketetapan baharu yang diumumkan oleh Khairy Jamaluddin berkenaan pelitup muka akan mula berkuat kuasa pada Ahad, 1 Mei 2022 ini dan turut terpakai ke atas mereka yang sedang menjalani pengasingan.
Walaubagaimanapun, pemakaian pelitup muka adalah wajib apabila berada di dalam bangunan (indoor) termasuk gedung membeli-belah dan di dalam pengangkutan awam termasuk perkhidmatan e-Hailing.
Individu yang gagal mematuhi arahan pemakaian pelitup muka ini akan dikenakan tindakan penguatkuasaan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) dan peraturan-peraturan di bawahnya.
Menurut Khairy, “Pelitup muka bagaimanapun boleh ditanggalkan semasa melakukan senaman di dalam bangunan, berseorangan di dalam satu ruang, ketika sedang makan, berucap dan membuat persembahan.
“Pemakaian pelitup muka terutamanya di dalam bangunan dan pengangkutan awam masih lagi penting untuk melindungi diri serta orang sekeliling, terutamanya mereka yang berisiko tinggi seperti warga emas, kanak-kanak dan individu immunocompromised,” jelas Khairy.
Bagi mereka yang berada di luar bangunan (outdoor), pemakaian pelitup muka tidak diwajibkan. Ini mengambil kira risiko penularan jangkitan yang rendah dalam keadaan di mana ventilasinya adalah baik.
Walau bagaimanapun, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menggalakkan agar pemakaian pelitup muka di luar bangunan terus diamalkan terutamanya berada di tempat yang sesak (bazar Ramadhan, pasar malam, stadium dan lain-lain lagi).
Pemakaian pelitup muka juga amat digalakkan sekiranya individu tersebut mengalami gejala seperti demam, batuk dan selesema, individu yang berisiko tinggi dan mereka yang melakukan aktiviti bersama orang yang berisiko tinggi seperti warga emas dan kanak-kanak.
Pemakaian pelitup muka masih diwajibkan di dalam bangunan mulai 1 Mei 2022. Walau bagaimanapun, ia adalah pilihan di luar bangunan tetapi digalakkan apabila berada di tempat yang sesak dan untuk individu berisiko tinggi. 😷 pic.twitter.com/0WapeP0vH3
— KKMalaysia🇲🇾😷 (@KKMPutrajaya) April 27, 2022
Penjarakan fizikal tidak diperlukan
KKM telah menyemak semula keperluan penjarakan fizikal di dalam prosedur operasi standard (SOP) Majlis Keselamatan Negara (MKN) terbitan 1 April 2022.
Khairy berkata, “Mengambil kira semua aktiviti telah dibenarkan dengan penggunaan 100% kapasiti ruang, maka penjarakan fizikal di antara individu atau kumpulan tidak diperlukan.
“Namun begitu, penjarakan fizikal digalakkan dalam keadaan tidak memakai pelitup muka.”
Kelonggaran SOP COVID-19 mulai 1 Mei 2022 pic.twitter.com/Nj5w54vkwr
— KKMalaysia🇲🇾😷 (@KKMPutrajaya) April 27, 2022