KLIA

Pelancong, pengembara perlu muat turun aplikasi MySejahtera

Berita

Seri Manjung – Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkongsi satu infografik mengenai protokol-protokol yang perlu diikuti oleh setiap pelancong atau pengembara yang ingin masuk ke Malaysia bermula 1 April 2022 ini di media sosial Twitternya tengah hari tadi.

Ianya terbahagi kepada dua protokol iaitu pra-perlepasan (Pre-Departure) dan semasa ketibaan (On-Arrival).

Bagi protokol pra-perlepasan (Pre-Departure), pelancong atau pengembara perlu memuat turun (download) dan mengaktifkan (activate) aplikasi MySejahtera kemudian perlu mengisi borang pra-perlepasan di dalam aplikasi MySejahtera di ruangan ‘Pengembara’ (Traveller).

Tan Sri Dr. Noor Hisham turut menambah, ujian RT-PCR dan RTK-Ag profesional perlu dibuat dua hari sebelum berlepas jika pelancong atau pengembara dijangkiti Covid-19 dalam tempoh 60 hari sebelum berlepas. Pelancong atau pengembara juga perlu membeli insurans Covid-19 dan perjalanan.

“Sejurus tiba di Malaysia, pelancong atau pengembara perlu melalui protokol ketibaan (On-Arrival). Ianya merangkumi proses pemeriksaan suhu dan menjalani ujian RTK-Ag profesional yang disediakan di lapangan terbang atau di fasiliti swasta apabila meninggalkan sempadan dalam tempoh 24 jam selepas masa ketibaan,” tambahnya lagi.