Op Tapis Khas

Op Tapis Khas: 530 orang ditahan di Perak

Berita Setempat Terkini

Ipoh – Seramai 530 orang termasuk warganegara asing telah berjaya diberkas oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Perak dalam Op Tapis Khas yang telah dijalankan bermula Isnin (27 Februari 2023) sehingga semalam (1 Mac 2023) di 11 lokasi sekitar negeri Perak Darul Ridzuan. 

Operasi selama tiga tersebut melibatkan 290 orang pegawai dan anggota dari JSJN Perak dan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah serta dua pegawai Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Perak. 

Dalam satu kenyataan hari ini, Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, suspek terdiri daripada 522 lelaki dan lapan wanita. 

“Suspek yang telah ditahan berusia lingkungan 17 hingga 67 tahun dengan 13 daripadanya adalah warganegara asing daripada Myanmar, Indonesia, Thailand, Laos dan Bangladesh. 

“Daripada jumlah keseluruhan tangkapan tersebut, 50 orang ditahan atas kesalahan mengedar dadah, 178 orang atas kesalahan memiliki dadah dan seramai 302 orang penagih disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952. 

“Pihak polis turut menahan 12 individu yang dikategorikan sebagai orang yang dikehendaki dan sembilan suspek pula dikenal pasti sebagai penagih dadah tegar dan akan diambil tindakan di bawah Seksyen 39C ADB 1952,” tambahnya. 

Antara dadah yang dirampas termasuklah heroin (494.30 g), methamphetamine (155.44 g), ganja (34.05 g, pil eramin 5 (0.77 gram), cecair ketum (55.75 liter) dan cecair methadone (1.2 liter) engan nilai rampasan berjumlah RM35,254.50. 

“Sebuah kereta turut disita berserta wang tunai dan barangan kemas berjumlah RM12,518,” ujarnya lagi. 

Justeru itu, Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri menyeru orang ramai untuk terus menyalurkan informasi berhubung penyalahgunaan dadah supaya tindakan pembanterasan dapat dipertingkatkan bagi memastikan Perak bebas daripada gejala dadah. 

Foto | Polis Perak

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *