Negara alami peralihan monsun – MetMalaysia

Seri Manjung – Bermula isnin ini, 14 Mac 2022 sehingga pertengahan bulan Mei, negara akan mengalami fasa peralihan monsun. Ini menandakan berakhirnya Monsun Timur Laut sejak 3 November tahun lepas.

Menurut Ketua Pengarah Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Muhammad Helmi Abdullah, dalam tempoh waktu tersebut, negara akan menerima tiupan angin yang lemah dari pelbagai arah yang amat sesuai untuk kejadian ribut petir, hujan lebat serta angin kencang dalam jangka masa yang singkat.

“Kejadian ini berlaku terutama pada waktu petang dan awal malam di beberapa kawasan di negeri-negeri pantai barat dan kawasan pendalaman Semenanjung Malaysia, barat Sabah serta barat dan tengah Sarawak,” tambah Muhammad Helmi Abdullah.

Dengan keadaan cuaca sebegitu, ia berpotensi menyebabkan kerosakan pada struktur yang tidak kukuh dan boleh menyebabkan banjir kilat di kawasan-kawasan yang tidak mempunyai sistem perparitan yang lancar.

Oleh itu, penduduk Malaysia dinasihatkan agar peka dengan amaran dan ramalan cuaca yang dikeluarkan oleh MetMalaysia.

Anda boleh terus ke laman sesawang Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), https://www.met.gov.my untuk mendapatkan perkembangan ramalan cuaca negara dengan lebih tepat.

The Dindings Ledger

The Dindings Ledger (TDL) adalah portal berita yang diwujudkan oleh beberapa anak muda yang berasal dari Seri Manjung, Perak. Bertujuan untuk memberikan maklumat kepada penduduk daerah Manjung mengenai perkembangan negara khususnya di daerah Manjung.