Ipoh – Datuk Wan Zahidi Wan Teh telah memulakan tugasnya sebagai Mufti Perak pada hari ini, Isnin, 1 Ogos 2022.
Pada 17 Jun 2022, Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah telah berkenan melantik Datuk Wan Zahidi Wan Teh sebagai Mufti Perak Darul Ridzuan ke-9 yang baharu bagi tempoh dua tahun berkuat kuasa hari ini bersamaan 1 Ogos 2022.
Wan Zahidi telah dilantik bagi menggantikan Allahyarham Tan Sri Dr. Harussani Zakaria yang meninggal dunia pada 30 Mei tahun lalu akibat jangkitan COVID-19.
Wan Zahidi juga berpengalamanan lebih 40 tahun dalam perkhidmatan awam dan bidang akademik khususnya dalam pentadbiran Islam.
Beliau pernah memegang beberapa jawatan penting antaranya Pakar Perunding Yayasan Dakwah Islamiah (YADIM), Mufti Wilayah Persekutuan, Felo Kehormat Kanan Universiti Islam Malaysia dan kini merupakan Pengerusi Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI).